Houthi Yaman beri amaran rampas lebih banyak kapal Israel di Laut Merah


Tangkap layar rakaman video rampasan kapal Israel oleh tentera Houthi Yaman yang disiarkan pada Isnin. – Gambar Facebook, 23 November, 2023.

TENTERA Houthi Yaman memberi amaran kepada sekutu Israel pada Rabu yang kapal mereka di Selat Bab al-Mandab di pintu masuk ke Laut Merah menjadi sasaran.

Amaran itu dibuat selepas Houthi pada Ahad merampas sebuah kapal kargo berkaitan Israel, membuka dimensi baharu dalam perang Gaza antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas.

Tentera yang membawa helikopter merampas Galaxy Leader dan 25 anak kapal antarabangsanya beberapa hari selepas Houthi mengancam menyasarkan perkapalan Israel kerana perang.

Kapal itu disewa oleh kumpulan Jepun, dan mengibarkan bendera Bahamas.

Seorang jurugambar yang bekerjasama dengan AFP berkata, Galaxy Leader itu berlabuh di pelabuhan Hodeida yang dikuasai tentera di barat laut Yaman dan dikawal rapi.

Ia kini mengibarkan bendera Yaman dan Palestin.

Golongan Houthi mengisytiharkan diri sebagai sebahagian daripada sekutu dan proksi Iran, dan juga melancarkan beberapa siri dron dan peluru berpandu ke arah Israel.

Sebuah video disiarkan di X, oleh media tentera Houthi menunjukkan komander pasukan tentera laut Jeneral Mohammad Fadl Abdelnabi, berada di atas kapal yang dirampas.

“Sekutu musuh Zionis yang melalui Bab al-Mandab juga dianggap sebagai sasaran,” katanya.

“Kami mengatakan kepada entiti Zionis bahawa Bab al-Mandab adalah hadnya… Setiap kapal awam atau tentera (bersekutu Israel) dianggap sebagai sasaran,” tambahnya.

Lautan penting itu melibatkan selat sempit antara Yaman dan Djibouti yang merupakan sebahagian besar lalu lintas maritim dunia.

Ia salah satu laluan kapal paling sibuk di dunia dan membawa kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global.

Laman web pakar Marine Traffic berkata, Galaxy Leader, pengangkut kereta, berada di luar pelabuhan Arab Saudi di Jeddah pada Sabtu apabila ia hilang dari radar. 

Pada Isnin, Houthi mengeluarkan video rakaman rampasan kapal.

Rakaman itu menunjukkan lelaki bersenjata bertopeng melompat ke atas kapal dari helikopter ketika kapal itu masih bergerak, dan menahan kru dengan senjata.

“Kami akan menjalankan misi tempur sehingga entiti Zionis berhenti menyerang Gaza,” kata jeneral Houthi itu dalam rakaman video terbaru di X. – AFP, 23 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen