Lebih 11,000 kanak-kanak maut atau cacat akibat konflik Yaman, kata Unicef


Kira-kira 2.2 juta kanak-kanak Yaman kekurangan zat makanan, dengan satu perempat daripada mereka berumur bawah lima tahun, kata Unicef. – Gambar AFP, 12 Disember, 2022.

LEBIH 11,000 kanak-kanak maut atau mengalami kecacatan akibat konflik di Yaman sejak hampir lapan tahun lalu, menurut agensi  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicaf) berkata angka sebenar korban krisis kemanusiaan terburuk di dunia itu mungkin jauh lebih tinggi.

“Puluhan ribu kanak-kanak terkorban, manakala ratusan ribu lagi dijangkiti penyakit atau kebuluran,” kata Pengarah Eksekutif Unicef Catherine Russell.

Kira-kira 2.2 juta kanak-kanak Yaman kekurangan zat makanan, dengan satu perempat daripada mereka berumur bawah lima tahun. Kebanyakan kanak-kanak ini mudah djangkiti penyakit seperti campak dan taun, serta penyakit lain yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin, menurut Unicef.

Konflik di Yaman meletus sejak 2014 apabila pemberontak Houthi menguasai beberapa kawasan dalam negara, termasuk ibu negara Sanaa, mendorong gabungan tentera diketuai Arab Saudi melancarkan kempen ketenteraan bagi menyokong kerajaan pada 2015.

Menurut angka terkini dikeluarkan Unicef seramai 3,774 kanak-kanak maut antara Mac 2015 dan September tahun ini.

Unicef dalam pada itu berkata sebanyak AS$484 juta diperlukan bagi menangani krisis kemanusiaan di Yaman. – AFP, 12 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen