Hormat undang-undang jika buat persembahan di Malaysia, kata Teo


Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata semua artis tempatan dan antarabangsa yang berhasrat membuat persembahan di negara ini diingatkan untuk menghormati kedaulatan dan undang-undang Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

SEMUA artis tempatan dan antarabangsa yang berhasrat membuat persembahan di negara ini diingatkan untuk menghormati kedaulatan dan undang-undang Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata perkara berkenaan sememangnya menjadi pendirian kementerian dan juga Kerajaan Madani.

“Setakat ini 296 konsert artis luar yang PUSPAL (Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) luluskan sepanjang tahun ini semuanya berjalan baik dan mematuhi peraturan yang telah kita tekankan.

“Cuma ya, memang ada satu insiden melibatkan kumpulan The 1975 itu yang memang langgar garis panduan, tapi janganlah disebab satu insiden itu, kita rasa semua konsert perlu dibatalkan,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu berkaitan kehadiran kumpulan Coldplay yang dijadualkan membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur malam ini yang dibangkitkan ramai ahli Parlimen semasa sesi perbahasan.

Teo juga berkata kementerian tidak campur tangan dalam sebarang soal pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) bagi penerbitan filem oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana setiap keputusan dilakukan oleh jawatankuasa yang berkaitan.

Sementara itu semasa menjawab pertanyaan Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kerajaan bercadang membenarkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat liputan program oleh blok pembangkang, Teo berkata perkara itu bukan satu masalah.

“Bernama dan RTM akan terus memberi liputan seimbang kepada mana-mana pihak termasuk dalam kalangan kerajaan dan blok pembangkang. Contohnya boleh dilihat pada PRN (Pilihan Raya Negeri) dan PRK (Pilihan Raya Kecil) Pulai, Simpang Jeram, Jepak dan Kemaman.

“Soalan-soalan dan perbahasan Arau di Dewan Rakyat ini juga ada sahaja dilaporkan oleh Bernama Wires, TV dan radio,” katanya.

Mengenai inisiatif 5G Rahmah pula Teo berkata setakat Oktober lepas pakej berkenaan sudah mencecah 98,979 langganan dengan 49 peratus daripadanya adalah dilanggan oleh golongan B40.

Berkaitan soal penubuhan 1,878 Komuniti Madani yang akan diwujudkan di seluruh negara Teo berkata sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada setiap komuniti dengan pecahan RM7,000 untuk pelaksanaan program manakala RM3,000 bagi kos pengurusan.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2,849,246,800 yang diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 17 ahli Parlimen. – Bernama, 22 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen