Kes jenayah dalam talian naik 23%, kata timbalan menteri


Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital nilai kerugian kes jenayah dalam talian bagi Januari hingga September tahun ini juga meningkat kepada RM687 juta atau 29% berbanding tempoh sama 2022. – Gambar EPA, 14 November, 2023.

STATISTIK Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman merekodkan 19,224 kes jenayah dalam talian dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, peningkatan 23% berbanding 15,659 kes yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata nilai kerugian kes jenayah bagi Januari hingga September tahun ini juga meningkat kepada RM687 juta atau 29% berbanding tempoh sama 2022.

“Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia pula merekodkan sebanyak 4,898 insiden keselamatan siber dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, penipuan dalam talian (fraud) terus berada di tangga teratas dengan jumlah insiden sebanyak 3,087,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok hari ini.

Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra berkenan merasmikan majlis. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Teo berkata insiden penipuan dalam talian dan ancaman scam perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana negara telah mengalami kerugian jutaan ringgit dan tekanan emosi.

Beliau berkata statistik turut menunjukkan bahawa mangsa scam merangkumi pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guru, jurutera, doktor, ahli perniagaan serta pesara dan warga emas.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menurunkan 4,013 akaun dan kandungan setakat 31 Oktober tahun ini.

“Dalam tempoh sama SKMM turut bertindak menyekat 1,764 laman sesawang palsu untuk penipuan pemancingan maklumat (Phishing),” katanya.

Menurut Teo, SKMM juga telah bertindak menyekat 410,590,277 SMS tidak diminta (unsolicited SMS) sejak Januari sehingga September tahun ini, manakala 19 juta SMS yang mengandungi pautan (hyperlink) telah disekat dari 2 Mei sehingga September 2023.

Beliau berkata sejumlah 79,322 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan telah ditamatkan perkhidmatannya dari Januari sehingga September 2023.

“SKMM turut menyekat 553,173,467 panggilan meragukan dari Januari sehingga September tahun ini,” katanya.

Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 telah bermula pada 18 Februari lalu di Selangor dan Kuala Lumpur, 20 Mei di Perlis serta 2 dan 3 September di Sarawak. 

Program jelajah diteruskan pada 28 dan 29 Oktober di Sabah dan akan diteruskan di Johor dan dijangka berakhir di Putrajaya. – Bernama, 14 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen