Majlis Media Malaysia, tentukan laporan beretika atau sebaliknya


Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata Majlis Media Malaysia boleh mewujudkan satu jawatankuasa untuk meneliti aduan terhadap sesuatu berita.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2023.

RANG Undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia yang dijangka dibentang di Parlimen pada Mac tahun depan, antara lain akan merangkumi satu mekanisma aduan bagi membolehkan sebarang ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap sesuatu berita, diadukan kepada majlis berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata Majlis Media Malaysia boleh mewujudkan satu jawatankuasa untuk meneliti aduan itu serta mengeluarkan keputusan sama ada laporan berita yang diadukan itu melanggar etika kewartawanan atau sebaliknya.

“Dengan Majlis Media Malaysia, kita dapat mewujudkan pengamal media lebih bertanggungjawab dan ada satu badan jadi pihak berkuasa untuk membuat keputusan sama ada sesuatu artikel itu beretika atau kurang beretika, atau dengan sengaja membuat tajuk untuk clickbait kerana hendak sensasikan emosi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan pengamal media mampu untuk kawal selia kendiri dalam melaporkan berita sahih dan tidak menyebarkan berita kurang tepat

Berhubung soalan asal Wong berkenaan status terkini penubuhan Majlis Media Malaysia, Teo berkata kementerian itu sedang meneliti dan memuktamadkan kandungan rang undang-undang berkaitan penubuhan majlis berkenaan dengan mengadakan beberapa siri perbincangan secara berkala bersama Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (Jawatankuasa Kerja Sementara).

“Sesi perbincangan telah diadakan bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang dipersetujui dalam kandungan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia adalah jelas dan mencapai kesepakatan antara semua pihak.

“Antara perkara yang dibincangkan secara lebih teliti dan perlu dipersetujui adalah berhubung beberapa takrifan yang akan dimasukkan dalam rang undang-undang ini, penguatkuasaan yang dimiliki oleh Majlis Media Malaysia dan beberapa isu lain,” kata Teo.

Mengulas cadangan Mumtaz Md Nawi yang berharap Majlis Media Malaysia berperanan meningkatkan literasi media dalam kalangan masyarakat, Teo berkata majlis berkenaan sememangnya akan melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal itu.

“Malah, ada juga banyak badan bukan kerajaan menjalankan aktiviti untuk meningkatkan literasi media dan kementerian sudi untuk bekerjasama dengan mereka,” katanya. – Bernama, 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen