Wujudkan 'Kill Switch' untuk konsert artis luar negara, kata timbalan menteri


Teo Nie Ching berkata Kill Switch adalah untuk menghentikan konsert berkenaan atau memutuskan bekalan elektrik supaya persembahan itu tidak dapat dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) meminta penganjur konsert bagi artis luar negara untuk mewujudkan Kill Switch bagi mengelakkan insiden yang dilakukan oleh kumpulan The 1975 pada Good Vibes Festival 2023 tidak berulang.

Timbalan Menteri berkenaan Teo Nie Ching berkata Kill Switch itu adalah untuk menghentikan konsert berkenaan atau memutuskan bekalan elektrik supaya persembahan itu tidak dapat dijalankan.

“Perkara ini ialah garis panduan daripada insiden itu (The 1975) dan kami (KKD) berharap dengan garis panduan yang lebih ketat, kita dapat memastikan bahawa persembahan yang dilakukan oleh artis luar negara dapat mengikut budaya di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam menambah baik tapisan dan penyenaraian hitam kepada kumpulan The 1975 yang melakukan aksi tidak senonoh kepada generasi muda dan tindakan kerajaan terhadap kumpulan terbabit selepas terus mengecam Malaysia ketika membuat konsert di luar negara.

Sementara itu Teo berkata Polis Diraja Malaysia sentiasa membantu pihaknya dalam semakan latar belakang artis luar negara supaya dapat memastikan mereka tidak mempromosikan unsur-unsur negatif di Malaysia.

“Selain itu semasa penganjuran konsert berkenaan Puspal (Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara) akan memastikan jawatankuasa Puspal akan diletakkan di lokasi (konsert) bersama PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk memantau konsert itu,” katanya.

Pada 22 Julai lepas media melaporkan persembahan The 1975 pada Good Vibes Festival 2023 di Sepang dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). – Bernama, 30 Oktober, 2023



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen