La Luna, satu kritikan


Faisal Tehrani

Filem La Luna lakonan Shaheizy Sam dan Sharifah Amani membawa tema klasik yang menujah kerangka berfikir masyarakat tradisional, menjoloknya dengan emansipasi wanita. – Gambar Facebook, 21 November, 2023.

SEBETULNYA ada satu persoalan besar akan timbul selepas menonton La Luna — mengapa dan bagaimana golongan konservatif, atau Lembaga Penapis Filem boleh berasa okay dengan kandungan dan naratif filem ini? 

Barangkali kerana La Luna adalah filem kerjasama antara karyawan tempatan dan negara jiran, Singapura. Mungkin tidak apa La Luna sedemikian kerana sutradara dan penulisnya orang Singapura. Ini kerana Singapura kan memang begitu? 

Pertanyaan saya ini ternyata relevan kalau melihat nasib yang menimpa Mentega Terbang. Kedua-dua filem ini mempersoalkan institusi agama (dengan cara sendiri).

Kekuatan terbesar La Luna yang melindungi kelemahan yang juga besar ialah tema. La Luna membawa tema klasik yang menujah kerangka berfikir masyarakat tradisional, menjoloknya dengan emansipasi wanita. 

Apa sahaja yang kita pelajari di universiti ketika mengikuti kuliah feminisme akan ada di sini. Contohnya seks atau hubungan kelamin sebagai senjata. Hak untuk wanita berpakaian dengan cara apa pun. Kebebasan dan pilihan wanita dewasa untuk berpacar. Hak isteri yang diredam dan senarainya banyak sekali. Hak hak hak wanita dari A hingga Z. 

Tema begini memang cepat merimaskan kaum konservatif, tetapi di kebalikan itu ia adalah permainan atau makanan biasa golongan ‘non-conservative’. 

Selain tema itu tadi, nampaknya sukar untuk (saya) menyukai filem ini. Saya membuat tanda kurung untuk kata ‘saya’ kerana ini memang fakta yang ketahuan. Selalunya (juga ketahuan ramai) saya akan menilai pertama-tamanya naratif naskah, atau plot. 

Kelemahan terbesar La Luna seperti mana kelemahan filem Melayu yang lain ialah plot. 

Filem La Luna lakonan Shaheizy Sam dan Sharifah Amani membawa tema klasik yang menujah kerangka berfikir masyarakat tradisional, menjoloknya dengan emansipasi wanita. – Gambar Facebook, 21 November, 2023.

Kita dihadapkan kerukunan cara lama atau tradisi di Kampung Bras Basah. Memang sebagai satira M Raihan Halim melakukan secukupnya dengan “Allah Sentiasa Melihat” atau denda yang dikenakan kepada penduduk kampung kerana kerja moral, atau kerja lukis Yazid yang terlihat tabu. Akan tetapi untuk penagih cerita yang teliti, plot La Luna kurang meyakinkan. 

Misalnya pertama, La Luna dikatakan kubu menjadi tempat selamat untuk kaum wanita; bagaimana? Kerana wanita kini lebih seksi dan lebih cukup makan nafkah batin dari sebelumnya? 

Sharifah Amani sebagai Hanie Abdullah tidak hadir sebagai aktivis tetapi selaku saudagar. Tidak ada cerita tulang yang jelas mengapa dia perlu pulang ke kampung tersebut dari Doha. Tidak ada penjelasan yang betul-betul meyakinkan mengapa dia harus membuka kedai baju dalam di sebuah kampung yang diketahui konservatif. Tidak meyakinkan sama sekali pilihan yang diutarakan. 

Akan tetapi memandangkan ia satira, maka kita mungkin sedikit memaafkan. Akan tetapi tulang latar belakang watak Hanie itu memang tidak demikian kuat kerana tidak banyak yang disuguhkan kepada kita. 

Dalam penciptaan watak, dan juga plot terdapat pertalian sebab akibat. Hanie di Doha, perniagaan baju dalam yang sama, dikhianati orang, tercedera dan pulang lalu membuka kedai baju dalam di kampung halaman. Ia plot yang simplistik dan serasa meremehkan. 

Sharifah Amani sebagai Hanie Abdullah dalam filem La Luna. – Gambar Facebook, 21 November, 2023.

Demikian juga tidak ada penjelasan yang demikian munasabah untuk tulang cerita isteri Salihin Arshad. Terlalu memudahkan dan meremehkan penonton apabila diberitahu isterinya ke kota melarikan diri dengan jantan lain kemudiannya, justeru Salihin membesarkan anak perempuannya Azura, seorang remaja memberontak dengan pengaruh media sosial. 

Tulang-tulang cerita yang rapuh begini amat mengganggu kerana ia menimbulkan lebih banyak pertanyaan. Ini berlaku pada hampir semua watak termasuklah Pa’at (ya, dia murung dan tertekan tetapi apa isu pokoknya tiada huraian lanjut). 

Mungkin saja Pa’at mati pucuk, tetapikan itu semua sangkaan, dan oleh kerana tiada cerita tulang maka plot jadi cair. 

Juga watak ustaz dimainkan Iedil Alaudin (siapa beliau sebenarnya) dan mengapa beliau sebegitu lemah? Adakah kerana beliau makan gaji? Perubahan sikap beliau juga kemudiannya tidak ditentukan oleh akibat yang keras. 

Ini berlaku juga pada peribadi Yam lakonan Nadiya Nissa (untuk dijadikan pemangkin yang menampilkan aktivisme Hanie) yang menimbulkan lebih banyak kelemasan. Mengapa mereka menjadi sedemikian dipermudahkan dengan cara meremehkan? Ia tidak kelihatan seperti sesuatu yang disengajakan lantaran pilihan genre tetapi kerana memang ia tidak dirapikan. 

Keaslian naratif La Luna juga nampaknya menghubungkan khalayak dengan macam-macam filem lain. Ada yang terimbas Chocolat, atau ada yang terlihat Spaghetti Western. Memang tidak ada salahnya terpengaruh kerana filem bukan kitab suci justeru tidak perlu asli. Apatah lagi tiada rujukan menyebut ia satu interteks dengan kanun-kanun sinema yang saya sebutkan tadi.

Bagaimana sang agamawan dan penghulu korup menjadi seorang yang cukup berkuasa juga tidak ditampilkan secara meyakinkan, kita hanya merasa-rasa bahawa lebai itu kuat kerana merasuah. Interaksi La Luna dan penjara, yang mana banduan menyiapkan pakaian dalam wanita itu juga memaksa kita mempersoalkan mengapa dan bagaimana. 

Filem-filem Melayu memang tiada back story yang kuat dan matang. Malah gejala tidak cukup masak ini ada dalam filem-filem yang dinobatkan sebagai naskah terbaik malahan. 

Khalayak juga tertanya bagaimana Salihin dan Yazid dapat menyelamatkan Azura lalu keluar dari api yang marak. Mereka turun bagaimana? Memang tidak diperlu ditunjukkan semua tetapi perlu ada cangkuk sebab dan akibat itu. 

Naratif yang tidak kemas begini mujurnya dihiasi lakonan oleh karyawan Malaysia yang memang bagus-bagus. Malangnya kerana mereka pelakon yang memang kelasan, watak mereka tidak diuji secara total. 

Makanya, kesan kita ialah Sharifah Amani masih begitu. Padahal bakat beliau luas dan boleh melakukan hampir apa sahaja. Nadiya Nissa juga begitu-begitu, samalah seperti drama tv petang yang kita biasa tonton. 

Watak-watak orang kampung dihadirkan di La Luna tanpa sebab kuat yang menolak cerita dan hanya tukang riuh untuk dikomikkan. Shaheizy Sam masih sama. Ya manis, sasa, dan boleh meruntun khalayak wanita. Wan Hanafi Su macam itulah juga. 

Dalam filem La Luna, Shaheizy Sam sekali lagi diberi peluang untuk memainkan watak sebagai pegawai polis. – Gambar Facebook, 21 November, 2023.

Tiada momen, mungkin persis Leonardo DiCaprio menukar diri menjadi Ernest Bukhart dalam Killers of the Flower Moon. Atau jika DiCaprio hebat sangat, apa kata kita tempatankan dengan membandingkan ia sebagai tiada cabaran Cikgu Azman seperti dimain Pekin dalam Gemencheh Boys. 

Tiada cabaran untuk pelakon-pelakon yang hebat dalam La Luna. Serasa mereka dijadikan bintang penghias dan dibiarkan berseronok (ya ternyata mereka girang). Tampak mereka menyajikan bakat di peringkat paling asas. Alangkah ruginya. 

Oleh sebab itu lakonan mereka, ya, untuk ditertawakan (ingat ini juga komedi) tetapi tidak melekat. Naskah yang kuat sebetulnya akan menguji bakat lakonan pemainnya. 

Hanya mungkin saya ingin memuji lakonan Syumaila Salihin sebagai Azura. Beliau dapat bersengaja dan tidak kekok, dan saya percaya akan berbekas dalam dunia lakonan dengan syarat mendapat watak dan naskah yang sedap. 

Perubahan “Allah sentiasa Memerhati” kepada “Allah sentiasa Menyayangi” di hujung ditonjolkan secara sederhana apabila penduduk kampung bergotong royong membantu rumah Hanie yang dikhianati itu. Pun bagaimana kerangka berfikir itu ditolak dan diubah tidak juga meyakinkan memandangkan keberatan sifat Allah itu tidak diacu pada konteksnya. Harus diingat ia adalah rombakan gagasan dan set minda yang besar. Tetapi ia tidak dimurnikan. 

Filem satira adalah sebuah filem pandai. Maka masih ada logik, penjelasan sebab akibat dan juga kerapian kriteria. Tidaklah karya satira itu bermakna kita boleh meremehkan kematangan penonton.

Pun biarlah lebih banyak filem sebegini, maksud saya tema begini, demi terus mencabar keselesaan cara berfikir yang tidak moden perlu diajukan dalam filem tempatan. Baik ia datang dari sini, atau dari seberang tambak. 

Apabila makin banyak kelak, golongan konservatif tidak akan boleh lagi menghasut di media sosial meskipun sebetulnya mereka tiada kreativiti untuk berkarya secanggih ini. 

Juga, apabila makin banyak kelak yang sebegini, Lembaga Penapis Filem akan terpaksa memikir kembali apa yang perlu dipotong dan apa yang tidak, lebih-lebih lagi bila generasi penilai sedia ada hari ini akan mati dan beredar dari dunia yang fana ini. 

La Luna adalah preseden, rujukan kita sekarang. Lembaga Penapis Filem harus tahu apa ‘kubu’ yang mereka telah buka. Pokoknya kita boleh buat lagi. – 21 November, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen