Tangani hampa kuasa pilihan raya demokrasi


G Manimaran

Semalam genap setahun negara mengadakan PRU15 dan 24 November ini, cukup kerajaan perpaduan dibentuk dengan Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM ke-10. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

SEMALAM genap setahun negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tanggal 24 November ini, maka genaplah kerajaan perpaduan dibentuk dengan Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10, sekali gus membawa formula penyelesaian kepada situasi Parlimen tergantung yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah demokrasi negara.

Kedua-dua tarikh itu amat signifikan dalam sejarah negara, yang turut diiringi dengan pelbagai pandangan, perbahasan, polemik dan persoalan di pelbagai pihak – dalam kalangan rakyat biasa yang mempunyai kuasa mengundi sehinggalah di peringkat atasan yang mempunyai kuasa membuat keputusan dasar politik, ekonomi dan sosial.

Itulah kedudukan pada hari ini. Sudah pasti ia juga boleh dilihat sebagai satu harapan kesemua pemegang taruh landskap pilihan raya negara. Pada masa yang sama, ia juga menggambarkan kebebasan setiap individu dalam melahirkan pandangan masing-masing.

Dalam gambaran yang lebih luas, ia menggambarkan bahawa kita perlu ada barisan pemegang taruh yang bersifat dinamik dan berliterasi tinggi dalam memastikan sistem demokrasi kita benar-benar segar sepanjang masa. Setiap pemegang taruh perlu memainkan dan menunaikan tanggungjawab dengan sepenuhnya, sekali gus menikmati hasil dengan optimum.

Ramai jelata, terutamanya para pengundi, kembali bertanya apa yang mereka dapat selepas mengundi dalam PRU15, setahun lepas iaitu pada 19 November, 2022 yang selalu saya sebutkan sebagai fasa pertama PRU15.

Sebagaimana disebutkan dalam artikel dua minggu lalu, kita melalui tiga fasa PRU15. Fasa pertama melibatkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka (November 2021) dan Johor (Mac 2022) dan fasa ketiga ialah enam PRN pada Ogos lalu. PRN Sarawak telah berlangsung pada Disember 2021 dan PRN Sabah mengejut pada September 2020.

Pengundi membangkitkan kekecewaan yang sama pada 2022 apabila negara digegarkan dengan Langkah Sheraton, yang membawa kepada keruntuhan kerajaan selepas 22 bulan.

Tanpa literasi yang mendalam kita tidak boleh mengharapkan kesan dan hasil pilihan raya yang sebenarnya – sama ada pilihan raya kecil mahupun PRU.

Pemegang taruh pilihan raya meliputi semua pihak – pengundi, parti politik dan ahli mereka, calon dan ejen pilihan raya mereka, pekerja pilihan raya, agensi kerajaan, perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri, dan sudah pasti kerajaan negeri dan negara. SPR dan pekerja lantikan mereka juga sebahagian daripada mereka.

Senarai pemegang taruh ini akan memanjang jika kita mengambil kesemua aspek. Ringkasnya setiap individu adalah pemegang taruh dan mereka mempunyai peranan, fungsi, hak dan tanggungjawab masing-masing.

Itu sebabnya apabila saya dan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ab Rashid Ab Rahman memutuskan untuk memilih tajuk buku kami, tiga tahun lalu, saya mengesyorkan agar kami gunakan “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir” sebagai tajuk.

Dengan harapan buku itu akan menjadi rujukan setiap pemegang taruh yang ada kaitan secara langsung dan secara tidak langsung dengan pilihan raya di Malaysia, dan akan mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan aktif dan membina berdasarkan kapasiti masing-masing.

Ab Rashid ada menjelaskan proses pemilihan tajuk semasa menyampaikan kata-kata aluan pada majlis pelancaran buku itu pada Mac 2022.

Satu keunikan menarik dalam sistem pilihan raya demokrasi adalah kewujudan peluang yang sama rata dan seimbang untuk rakyat bertanding dan pada masa yang sama memilih calon yang disukai mereka manakala calon atau parti yang menang akan ditanggungjawabkan dengan mandat untuk mentadbir selama lima tahun.

Lazimnya, di Malaysia PRU diadakan dalam tempoh empat hingga empat setengah tahun. Hanya dua PRU peringkat nasional yang telah dipanggil ketika di penghujung mandat termasuk PRU-14 yang berlangsung pada 9 Mei, 2018. PRN Sarawak pada 2021 melewati mandat lima tahun disebabkan oleh penguatkuasaan darurat.

Pemilih yang berdaftar mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Pengundi harus mengetahui tanggungjawab dan hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Calon dan parti yang bertanding juga mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab masing-masing iaitu memastikan pencalonan mereka tidak berhadapan dengan halangan, antaranya ditolak semasa proses penamaan calon.

Jika ditolak bermakna mereka akan keciciran peluang untuk bertanding.

Apabila menang wakil rakyat dan parti yang memperoleh mandat mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaan, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, sekali gus menerajui kerajaan yang dibentuk.

Wakil rakyat dan mereka yang menganggotai Kabinet atau barisan exco mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menunaikan mandat yang diberikan oleh rakyat.

SPR pula mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengendalikan pengurusan pilihan raya demokrasi dengan cekap, bebas, adil dan telus serta memastikan penyertaan seramai yang mungkin dalam pilihan raya – sama ada calon yang bertanding mahupun rakyat yang mempunyai hak untuk mengundi.

Akhirnya pilihan raya diadakan dengan matlamat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah dan sahih untuk mentadbir negara sepanjang tempoh mandat.

Pada keseluruhannya pengurusan pilihan raya di Malaysia berjalan dengan baik dan lancar sejak PRU yang pertama pada 1959. Pun begitu, setiap pilihan raya menyediakan pengajaran, pengalaman dan maklumat yang amat berguna untuk membawa penambahbaikan berterusan.

Sebab itu, undang-undang pilihan raya dipinda dan dikemaskinikan beberapa kali sepanjang enam dekad yang lalu, termasuk ketika awal 1990-an, 2002 dan 2013. Pada Julai 2019 kerangka perundangan dipinda bagi membolehkan kelayakan mengundi dan menjadi calon diturunkan kepada 18 tahun. Ia perubahan yang amat besar dalam landskap pilihan raya.

Tiga tahun kemudian – pertengahan tahun lalu, Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan peruntukan berkaitan larangan lompat parti diperkenalkan selepas desakan demi desakan dan tuntutan demi tuntutan selama tiga dekad. Ia dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat nasional menjelang PRU15 November 2022.

Kini kelemahan dalam peruntukan itu menjadi polemik sehingga membawa kepada kontroversi akan status empat anggota Dewan Rakyat.

Berdasarkan pada kehendak dan keperluan semasa, sistem dan undang-undang pilihan raya negara perlu ditambah baik dan amat memerlukan penambahbaikan.

Segala perkembangan sepanjang lima tahun lalu – sejak PRU14 dan PRU15 – dengan sendiri meletakkan keperluan yang mendesak untuk memperkasakan sistem pilihan raya. Kini jelas wujud pelbagai jurang, kelemahan dan lompong.

Ini termasuklah menyediakan kuasa yang meluas kepada SPR, antaranya menunda atau menangguhkan pilihan raya ketika krisis kesihatan seperti Covid-19 dan bencana alam serta menyediakan gelanggang persaingan atau pertandingan yang lebih adil kepada semua pemegang taruh.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) juga mengemukakan 49 syor pada Ogos 2020 bagi membolehkan pilihan raya diuruskan dengan lebih efektif dan adil selaras dengan prinsip pilihan raya demokrasi.

Berbanding 1950-an dan 1960-an, sistem pilihan raya negara sedang bergerak ke arah yang lebih kompleks. Antaranya, kelahiran sistem dua parti. Banyak pakatan parti politik muncul sejak satu dekad yang lalu terutama selepas Mei 2018.

Berbanding 30 tahun lalu, bilangan parti yang bertanding juga meningkat. Ini satu persekitaran yang sihat. Begitu juga kewujudan kerajaan campuran dan kerajaan perpaduan berbanding kerajaan yang didominasi oleh satu parti atau pakatan tunggal sebelum 2018.

Senario yang disaksikan di kebanyakan negara demokrasi utama sudah mula bertunas di Malaysia. Rakyat sudah mula menyesuaikan dengan persekitaran atau landskap yang baharu.

Dalam PRU15 November 2022, gabungan yang dibentuk dan bertanding juga meningkat dengan banyaknya, sekali gus mencipta satu lagi sejarah dalam landskap pilihan raya negara.

Setiap pihak yang berkepentingan mula sedar akan peranan dan kedudukan serta hak mereka dalam memastikan amalan demokrasi terus dipertahan dan diperkukuhkan demi kepentingan bersama.

Sehubungan itu, pendidikan pilihan raya juga wajar diberi keutamaan bagi menyuburkan lagi amalan demokrasi. Pada masa sama kita perlu mempertingkatkan usaha memperkasa sistem dan undang-undang pilihan raya demokrasi, dengan membaiki segala kelompongan dan kelemahan kerangka perundangan semasa.

Usaha ini tidak harus ditangguhkan sehingga selepas PRU16. – 20 November, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen