Harga sayur mungkin naik 70% akibat musim tengkujuh, kata pekebun


Noel Achariam

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata pihaknya menjangkakan harga beberapa jenis sayuran akan meningkat antara 30% hingga 70%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

MUSIM tengkujuh boleh menjejaskan pengeluaran beberapa jenis sayuran, sekali gus mungkin melonjakkan harga sehingga 70% bulan depan, kata kumpulan pekebun.

Mereka berkata dengan cuaca yang tidak menentu akan mengakibatkan pengeluaran beberapa jenis sayuran seperti tomato, kacang buncis, daun bawang, daun ketumbar, cili dan lain-lain merosot sebanyak 30%.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata pihaknya menjangkakan harga pada Disember akan meningkat antara 30% hingga 70% tetapi ia bergantung kepada jenis sayuran kerana mereka mempunyai 30 jenis tanaman berbeza di sini.

“Kini harga runcit daun bawang, daun ketumbar adalah kira-kira RM20 sekilogram dan tomato kini RM6 hingga RM7 sekilogram.

“Kami meramalkan harga kacang buncis (runcit RM12-14), cili benggala (runcit RM12-13 sekilogram) mungkin naik lebih tinggi jika cuaca buruk bulan depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chay berkata cuaca tahun ini adalah buruk.

“Sebelum ini kita mempunyai cuaca panas yang baik untuk penanaman, tetapi sekarang musim tengkujuh.

“Sudah tentu kita memerlukan air, tetapi kita juga memerlukan cahaya matahari bagi membantu tanaman tumbuh dengan subur.

“Malah sayur-sayuran di rumah hijau juga terjejas akibat cuaca.”

Katanya, jika tiada sinaran matahari atau proses fotosintesis ia akan menjejaskan pengeluaran cili, bawang, kacang panjang dan lain-lain.

“Jadi, apabila pengeluaran rendah maka harga sayur akan melonjak.”

Malaysia tidak mempunyai bekalan sayur-sayuran yang mencukupi dan disebabkan itu kira-kira 60% tumbuhan hijau itu terpaksa diimport. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

Chay juga berkata Malaysia tidak mempunyai bekalan sayur-sayuran yang mencukupi dan disebabkan itu kira-kira 60% tumbuhan hijau itu terpaksa diimport.

“Ia datang dari China, Thailand, Indonesia dan negara jiran lain.

“Kubis, kubis bunga, brokoli, lobak merah, bawang. Malah 60% cili diimport dari Thailand dan Vietnam.

“Kami sebelum ini mengimportnya dari Australia, tetapi sekarang mahal disebabkan kos logistik dan pengangkutan yang tinggi.

“Jadi kami menggunakan negara yang lebih dekat untuk mendapatkan bekalan.”

Chay juga berkata kebanyakan pengeluaran sayuran menurun sebanyak 20% hingga 30%.

“Di Cameron Highlands kini pengeluaran tomato, kacang buncis, daun ketumbar, cili menurun.

“Ini kerana cuaca. Ia sudah bermula sejak September dan Oktober.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pekebun Cina Cameron Highlands Cheng Nan Hong meramalkan harga bawang, sawi Jepun,  pak choi, kubis, dan tomato akan naik antara 30% hingga 50%.

“Harga sayur pasti naik, kalau musim tengkujuh kita terjejas kerana cuaca tidak menentu.

“Ia bukan sahaja menjejaskan sayur-sayuran di ladang tetapi juga di rumah hijau. Kami menjangkakan pengeluaran menurun sebanyak 30%.

“Tahun lepas lebih teruk kerana pengeluaran dalam tempoh yang sama menurun lebih 50%.”

Katanya, pihaknya menjangkakan harga kubis, daun bawang, tomato, cili dan lain-lain akan meningkat.

“Sekiranya cuaca buruk pada bulan depan, kami menjangkakan kebanyakan pekebun akan menaikkan harga untuk beberapa jenis sayuran sebanyak RM2.

“Kita sudah boleh lihat peningkatan harga dengan harga bawang kini berharga RM5 sekilogram (harga pembekal) sedangkan sebelum ini RM1.50 sekilogram.” – 20 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen