Protes larangan kenderaan komersial: Polis siasat Adun Tanah Rata, 3 penduduk


Petani dan penduduk Cameron Highland mengadakan bantahan aman berhubung larangan kenderaan melalui kawasan tertentu pada 30 Jun lalu. – Gambar Facebook, 4 Julai, 2023.

ADUN Tanah Rata Ho Chi Yang dan tiga penduduk dipanggil oleh polis Cameron Highlands untuk siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam satu kenyataan, Ho berkata beliau menerima notis arahan hadir di balai polis daerah itu esok.

Beliau berkata ia berhubung protes yang diadakan terhadap permintaan kerajaan Pahang yang melarang kenderaan komersial menggunakan bahagian tertentu di Laluan Persekutuan 59 di Cameron Highlands pada hujung minggu dan cuti dari 10 pagi hingga 3 petang.

“Kami menyeru semua penduduk dan petani menghubungi pejabat Adun Tanah Rata dengan segera sekiranya menerima panggilan atau notis daripada polis.

“Kami akan menyediakan peguam untuk menemani anda semasa soal siasat demi melindungi hak anda,” kata Ho dalam satu kenyataan semalam.

Ho turut menunjukkan gambar bantahan aman bersama petani dan penduduk menentang larangan kenderaan melalui kawasan tertentu pada 30 Jun lalu.

“Sejak larangan kenderaan komersial dikenakan pada 16 Jun lalu, keadaan lalu lintas di Cameron Highlands masih sama.

“Pada masa sama, larangan itu memberi kesan negatif kepada rantaian logistik sayur-sayuran di Cameron Highlands,” katanya.

Ho juga menegaskan semula hak perlembagaan penduduk untuk berhimpun secara aman. – 4 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen