Pencarian pelancong India hilang diperluas lepasi sempadan Perak, kata polis


Pencarian Nandan Suresh Nadkarni itu sudah memasuki hari keenam. – Gambar All Trails, 30 September, 2023.

KAWASAN pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari India yang hilang sejak 22 September lepas ketika mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata di Cameron Highlands, Pahang diperluas melepasi sempadan Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Azri Ramli berkata sepasukan penyelamat terdiri daripada 93 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malim Gunung Cameron Highlands dan Radio Communication and Recreation Club dikerah untuk meneruskan misi pencarian tersebut.

Beliau berkata polis juga memohon bantuan helikopter daripada Pasukan Gerakan Udara yang berpangkalan di bandar raya ini untuk meninjau kawasan sukar diakses pasukan SAR bagi misi pencarian pada hari kelima itu.

Menurut Azri Pos Kawalan Tempat Kejadian turut disertai Jabatan Penerangan Cameron Highlands dan Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands.

“Hari ini misi pencarian memasuki hari keenam dan seramai 101 orang daripada pelbagai agensi menyertai misi pencarian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azri sehubungan itu, menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan menghubungi bilik gerakan (DCC) menerusi talian 05-4915 999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran, sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih menerusi laman media sosial.

Sebelum ini, Azri dalam kenyataan memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44 dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, sejak 22 September lepas.

Mangsa mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.

Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 September, mangsa keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata. – Bernama, 30 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen