Kumpulan masyarakat sivil bantu banduan akhir dapatkan pengurangan hukuman


Noel Achariam

Parlimen meluluskan Akta 846, yang bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya. – Gambar EPA, 15 November, 2023.

SATU kumpulan masyarakat sivil yang menyokong pemansuhan hukuman mati selama bertahun-tahun kini membantu banduan akhir dengan bantuan guaman untuk meringankan hukuman mereka.

Penyelaras Eksekutif Anti-Death Penalty Asia Network Dobby Chew berkata selepas kerajaan membenarkan semakan hukuman terhadap mereka yang dijatuhkan hukuman mati pada Julai, kumpulan itu bekerja keras berkoordinasi dengan peguam dan keluarga banduan.

“Kami sedang membantu 130 banduan akhir. Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka diwakili dengan sewajarnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chew berkata sebahagian daripada tugas mereka adalah menghubungkan banduan dengan peguam dan juga membantu mereka dengan sebarang proses lain yang memerlukan pertolongan.

“Sesetengah daripada mereka (banduan) mempunyai peguam sendiri manakala yang lain masih tiada..

“Buat masa sekarang, kami mempunyai 15 peguam untuk membantu banduan secara pro bono.

“Kami juga memberi sedikit elaun kepada peguam untuk pergi ke penjara, mengumpul bukti dan perbelanjaan lain.”

Beliau berkata kebanyakannya keluarga menghubungi mereka dan cuba membantu dengan melibatkan peguam.

“Isu berulang yang kami hadapi ialah keluarga tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang kes itu,” kata Chew.

“Mereka memerlukan peguam untuk menjelaskan kepada ahli keluarga banduan akhir.

“Mereka tidak tahu proses dan undang-undang apa yang telah berubah.

“Ada juga yang tidak mempunyai rekod kes ahli keluarga mereka kerana disabitkan kesalahan bertahun-tahun yang lalu.”

Chew berkata terdapat sejumlah besar kes dengan masa yang sangat sedikit (untuk peguam) untuk menguruskan semua kes. Dilaporkan terdapat kira-kira 1,280 banduan akhir, dengan 1,080 daripadanya layak untuk melakukan semakan semula.

“Pada ketika ini kes yang diuruskan agak mudah. Kami berharap mahkamah dan pendakwa raya akan memberikan penelitian lebih mendalam terhadap faktor pengurangan bagi kes lebih rumit (pembunuhan).”

Semalam, sebelas individu yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah diringankan hukuman mati dan penjara seumur hidup di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847). 

Mereka adalah kumpulan pertama banduan yang hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi pendengaran semakan semula selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa pada 4 Julai.

Tujuh banduan akhir menyaksikan hukuman mati digantikan dengan penjara 30 tahun dari tarikh mereka ditangkap.

Empat banduan lain yang dihukum penjara seumur hidup diganti dengan dengan penjara 30 tahun.

Parlimen meluluskan Akta 846, yang bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Di bawah akta itu, mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun, dan bagi mereka yang tidak dijatuhkan hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 rotan. – 15 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen