Majikan sambut baik cadangan ambil bekas banduan ganti pekerja asing


Angie Tan

Majikan bagaimanapun bimbang golongan ini tidak mampu menyesuaikan diri dalam sektor sukar seperti pertanian yang memerlukan mereka bekerja dalam tempoh yang panjang dan cuaca yang tidak menentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2023.

HASRAT kerajaan untuk menggantikan pekerja asing dengan bekas banduan disambut baik, namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, kata majikan.

Antaranya, bekas banduan mungkin tidak sesuai diletakkan di sesetengah sektor malah golongan itu sendiri dibimbangi enggan bekerja dalam sektor yang sukar. Tempoh waktu bekerja dalam sektor pertanian pertanian misalnya panjang dan pekerja mungkin perlu bekerja dalam cuaca yang tidak menentu, tambah majikan ini.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kecil Dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) Chin Chee Seong bagaimanapun berkata cadangan kerajaan itu tidak dinafikan bagus, kerana selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan langkah itu juga akan memberi peluang kedua kepada mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat selepas tamat menjalani hukuman penjara.

“Tetapi kerajaan perlu menyediakan latihan profesional untuk meningkatkan kemahiran termasuk tingkah laku mereka di tempat kerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chin berkata sebagai majikan sudah pasti mahukan bekas banduan yang diambil bekerja benar-benar memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“Kita mahukan jaminan. Kerajaan mesti pastikan bekas banduan ini diberi latihan yang betul sebelum kembali ke pangkuan masyarakat dan bidang pekerjaan. 

“Saya percaya para majikan menyambut baik hasrat kerajaan untuk buka peluang kepada golongan ini bagi mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing,” jelas beliau.

Cadangan kerajaan yang dikemukakan oleh Menteri Sumber Manusia V Sivakumar di Dewan Rakyat bulan lepas turut dialu-alukan Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayur Malaysia Lim Ser Kwee, yang menurutnya akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Ini membolehkan mereka (bekas banduan) mempunyai pendapatan dan pada masa yang sama dapat mengurangkan jumlah pekerja asing.”

Beliau bagaimanapun ragu-ragu bekas banduan mampu bekerja dalam tempoh yang panjang dan cuaca yang tidak menentu.

Bagi Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Jeremy Lim pula tiada masalah untuk membawa bekas banduan bekerja dalam sektor perhotelan.

Katanya bekas banduan sudah pun menjalani hukuman dan mereka berhak diberi peluang kedua.

“Cuma jumlah bekas banduan masih tidak cukup untuk menggantikan permintaan terhadap pekerja asing.

“Ada lebih dua juta pekerja asing dalam negara kita. Kerajaan sepatutnya biarkan mereka (bekas banduan dan pekerja asing) sama-sama diambil bekerja supaya isu kekurangan pekerja dapat diatasi dengan berkesan,” kata Jeremy.

Unjuran jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia adalah seramai 2,730,153 sehingga 30 September lalu, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Jumlah itu merangkumi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara aktif berjumlah 1,830,828, pekerja asing yang belum memasuki negara seramai 152,158 dan pendatang asing tanpa izin yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 seramai 747,167 orang. – 10 November, 2023.

Berita penuh di sini
 


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen