Hanya Iran yang dapat diharap oleh Palestin


Faisal Tehrani

KEGAGALAN negara Arab, dan wakil negara Islam untuk bertegas demi membantu teriak dan tangis Gaza membawa kepada satu sorotan penting.

Iaitu hanya Iran yang dapat dihujahkan benar-benar konsisten dalam membantu dan menyuarakan keperluan Palestina untuk merdeka.

Adalah perlu difahami di sini, penubuhan Republik Islam Iran pada 1979 itu sendiri sangat terkait dan terhutang akan isu Palestina, menjadikan Iran memandang Palestina sebagai topik besar tanpa berbelah bahagi.

Pada tahun 1948, ketika kebanyakan negara-negara Islam masih kemurungan di bawah penjajahan negara-negara Barat, Ayatullah Abol Qassem Kashani, seorang ulama dan marja yang tersohor memobilisasi massa untuk menunjuk perasaan membantah penubuhan negara Israel.

Kashani melihat penubuhan Israel di atas tanah Palestina sebagai satu petaka kolonialisme, dan “bertujuan untuk menumpahkan darah umat Islam siang dan malam”.

Tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh Ayatullah Kashani ini begitu makan dalam.

Ia membawa kepada perdana menteri Iran tatkala itu memanggil semua pegawai atau diplomat Iran pulang dan menutup konsulat di Palestina pada tahun 1951.

Timbalan perdana menteri Iran ketika itu, Hussein Fatemi mengatakan Iran tidak akan pernah mengiktiraf rejim Israel.

Kejatuhan pentadbiran Mossadeq ekoran kudeta yang dipelopori kuasa Anglo-American pada tahun 1953, membolehkan Shah Iran melancarkan kembali  hubungan diplomatik dengan Israel.

Semasa itulah Shah menjadikan tentera dan polis rahsia – Savak – begitu dekat dengan Mossad.

Perlawanan para ulama Iran sebelum tahun 1979 terhadap Savak dilihat sebagai perlawanan terhadap Israel itu sendiri, berterusan sehingga 1979.

Apabila gerakan menjatuhkan Shah dilancarkan awal tahun 1970an, Khomeini benar tahu retorika penting ini akan memudahkan penggulingan Shah.

Untuk menjadikan kempen menjatuhkan Shah relevan, Ayatullah Khomeini pendiri Republik Islam Iran menyatakan bantuan besar Shah kepada Israel ialah dengan membekalkan minyak kepada rejim itu. Malah Khomeini menegaskan, “ini adalah alasan terbesar aku menentang monarki”.

Malah sebelum itu, pada tahun 1968, Ayatullah Khomeini mengeluarkan fatwa menyokong gerakan Fatah untuk melawan Israel secara bersenjata, serta mengarahkan rakyat Iran membayar zakat mereka untuk membantu pejuang Palestina.

Kemudiannya setelah beroleh kuasa, Khomeini membawa pengisytiharan, Yom al-Quds’ (Hari al Quds) setiap Jumaat terakhir Ramadan untuk menolak rejim Israel. Justeru penolakan terhadap Israel dijadikan satu normalisasi di negara Parsi tersebut.

Ketika awal Republik Islam Iran, pengurusan atas PLO termasuk Yasser Arafat diterima dengan mesra di Tehran. Iran malah memutuskan hubungan dengan Mesir ekoran negara itu mengiktiraf Israel.

Meskipun kemudian dikhianati PLO lantaran hubungan Arafat dan Saddam Hussein (ketika itu Iraq sedang berperang dengan Iran), Khomeini tetap tidak berganjak dalam memperjuangkan isu Palestina.

Ini memahamkan kepada kita mengapa Iran kekal bersama Hamas dan Jihad Islami meskipun kedua-dua pertubuhan itu bermain dua kolam dengan Qatar dan Turki.

Iran sangat tekal dalam isu Palestina dan dasar luarnya memilih untuk menolak semua perjanjian damai antara Israel dan Palestin sejak Fahd Peace Plan 1981, Madrid Conference 1991, Oslo Accords 1993, Wye River Memorandum 1998, Camp David Summit 2000, dan Road-Map antara tahun 2002-2003.

Iran beranggapan semua perjanjian itu tidak memberikan hak kemerdekaan buat Palestina. Hanya kemerdekaan penuh Palestina sahaja yang akan menamatkan penderitaan umat Palestin.

Dalam kalangan sarjana dan intelektual Iran pula, sikap dan kejelasan dalam isu Palestina sangat bergantung kepada ketegasan Ali Shariati.

Pada Julai 1967, Shariati menerbitkan sebuah esei dengan judul (terjemahan Inggerisnya) “New Colonialism and Its Brokers” di Majalah Ferdosi yang secara terang menyatakan; “Barat telah memberikan Palestin kepada Yahudi sebagai tebusan jenayah mereka menerusi Kristianiti dan Nazisme.”

Shariati seterusnya mengatakan,  “… Mengapa mereka tidak memberikan sebuah penjuru di Poland tempat mereka mengerasi Yahudi untuk ditubuhkan sebuah negara?” Poin Shariati ini digunakan sehingga sekarang oleh ramai pihak.

Shariati seterusnya mempersoalkan mengapa Palestin dan umat Islam yang harus membayar penderitaan yang dilakukan oleh Kristianiti terhadap masyarakat Yahudi selama 2,000 tahun tersebut.

Sudut pandang Shariati yang sangat berpengaruh dalam dunia kesarjanaan Iran menjadi tunjang advokasi beliau dalam gerakan Dunia Ketiga. Sarwa pandang Shariati adalah zionisme adalah satu lagi bentuk gerakan imperialisme.

Ali Shariati yang mula-mula menamakan zionisme sebagai satu bentuk rasisme. Malah Shariati beranggapan kelahiran faham nasionalisme di Barat adalah berpunca dari  kefahaman Barat terhadap rasisme dan anti-semitism.

Shariati mengatakan lagi yang zionisme adalah pemaksaan imperialisme Barat terhadap umat Islam. Oleh kerana itu imperialisme Barat dan zionisme dibaca secara bersama.

Gejala yang saya huraikan di atas tidak berlaku dalam kalangan negara-negara Arab, mahupun Turki. Iran melihat kelangsungan negaranya secara organik sangat berhubungan dengan kemerdekaan Palestina menjadikan kedudukan Iran dan sikapnya terhadap Palestina begitu unik.

Ini memahamkan kita mengapa ulama dan sarjana di Iran sangat ke hadapan dalam isu melibatkan Palestina. Di saat negara Arab gagal memain peranan dalam menghentikan keganasan di Gaza dan Palestina, negara-negara ini juga memilih untuk terus berdagang dengan Israel justeru mengiktirafnya. Turki juga tidak terkecuali.

Inilah antara sebab yang mendorong Ali Khamenei dan Sayyid Hassan Nasrallah, pemimpin tertinggi Iran dan Setiausaha Agung Hezbullah mengkritik posisi negara Arab dan Turki yang berterusan bermain wayang bermusuhan dengan Israel.

Untuk umat Islam di Malaysia yang serius memperjuangkan nasib dan kemerdekaan Palestina, pendekatan pelbagai serampang harus digerakkan. Salah satunya adalah untuk mendekati Iran yang konsisten dalam isu ini.

Malaysia perlu bekerja dengan entiti yang tidak hipokrit untuk terus menyuarakan soal Palestina ini. Saya percaya pendekatan Madani, daripada Anwar Ibrahim menyedari hakikat ini. – 15 November, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen