Premis Starbucks, McDonald's terkesan gesaan boikot 


Alfian Z.M. Tahir

Salah satu kedai Starbucks di ibu negara yang lengang berikutan gesaan boikot oleh kumpulan pro-Palestin di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 November, 2023.

PEKERJA tempatan di rangkaian kedai kopi Starbucks kini merasai kesan akibat gesaan boikot terhadap jenama yang didakwa mempunyai hubungan dengan Israel.

Barista tetap dan sementara melahirkan rasa kurang senang terhadap konflik berterusan di Gaza yang mungkin memberi kesan kepada kehidupan mereka di sini.

Serangan di Gaza oleh tentera Israel sejak sebulan lalu mengorbankan lebih 11,000 rakyat Palestin, majoritinya orang awam, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Serangan itu berlaku selepas beberapa siri serangan yang diselaraskan oleh kumpulan Palestin Hamas, dari Semenanjung Gaza ke kawasan sempadan di Israel, 7 Oktober. Laporan menyatakan lebih 1,200 warga Israel terbunuh dengan lebih 230 diculik.

Banyak kumpulan pro-Palestin tempatan menggesa boikot produk yang dikaitkan dengan perniagaan Israel. Mereka juga telah menganjurkan beberapa perhimpunan jalanan untuk menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

Starbucks adalah salah satu daripada banyak syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel walaupun dalam banyak kenyataan sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Howard Schultz telah menafikan membiayai Tel Aviv. Starbucks mempunyai 365 cawangan di Malaysia.

Seorang barista sambilan di sebuah kedai Starbucks di Setia Alam, Selangor, berkata perang di Gaza telah memberi impak yang besar kepada jualan harian mereka.

Pelajar yang ingin dikenali sebagai Alya itu berkata, pekerja sambilan diarah bercuti kerana kekurangan jualan.

“Jualan harian kami biasanya antara RM13,000 dan RM15,000 sehari tetapi sejak dua minggu lalu ketika kemuncak ketegangan, jualan harian hanya RM7,000,” katanya.

Alya berkata, dia tidak pasti sama ada boikot itu yang menyebabkan penurunan jualan harian tetapi menegaskan bahawa pelanggan Melayu kurang berbanding sebelum ini.

“Saya rasa boleh jadi kerana seruan boikot. Pekerja sambilan diberitahu mereka diberi cuti kerana jualan tidak seperti biasa dan kurang orang,” katanya.

Seorang lagi pekerja Starbucks di Setia City Mall, juga di Selangor, berkongsi sentimen Alya.

Beliau berkata kini terdapat kurang pelanggan Melayu sejak konflik di Gaza bermula.

“Beberapa malam, kedai ini hampir kosong. Hanya beberapa orang yang masuk untuk minum kopi. Selebihnya adalah tempat duduk kosong. Saya tidak pernah melihat situasi seperti itu sebelum ini.”

Pekerja wanita yang enggan namanya didedahkan itu berharap keadaan kembali pulih tidak lama lagi.

“Saya memang faham keadaan sekarang, saya harap sesuatu boleh dilakukan dan ia tidak menjejaskan kami sebagai pekerja.

“Ramai yang bekerja sambilan adalah pelajar, jika mereka tidak boleh bekerja, mereka tidak boleh mendapatkan wang untuk biaya pelajaran mereka. Saya kesian dengan mereka,” tambahnya.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Pengerusi BDS Malaysia Prof Dr Nazari Ismail berkata rakyat Malaysia mesti memboikot syarikat dan jenama yang dikaitkan dengan Israel.

“Israel kini melakukan jenayah apartheid dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin. Memboikot Israel adalah jalan tanpa kekerasan yang boleh diikuti oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu,” katanya.

Mengenai boikot yang mungkin merugikan pekerja tempatan, Nazari berkata pengguna mempunyai hak untuk memilih.

“Pasukan pengurusan mesti merancang strategi untuk memastikan ia selaras dengan cita rasa, nilai moral dan emosi pengguna.”

Tinjauan di kedai Starbucks di tengah-tengah Kuala Lumpur membuktikan gesaan boikot mendapat sambutan.

Sebuah kedai di Avenue K yang terletak betul-betul di hadapan KLCC menyaksikan kurang daripada 10 orang berada di kedai kopi itu.

Bagaimanapun pengurus kedai itu enggan mengulas.

McDonalds Malaysia juga menghadapi situasi yang sama. Syarikat itu telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatannya dengan Israel tetapi tinjauan menunjukkan pelanggan kurang daripada biasa.

Gerbang Alaf Restaurants, yang memiliki McDonald’s Malaysia, dalam satu kenyataan berkata, mereka adalah firma tempatan yang 100% milik Muslim.

Ia juga berkata tindakan sebuah kedai McDonald’s di Israel menyediakan makanan kepada tentera Israel bukanlah keputusan global dan diluluskan oleh pengendali tempatan lain.

McDonald’s mempunyai 21,000 pekerja di 350 cawangan di Malaysia.

Seorang pengurus McDonald’s di Shah Alam mengakui boikot menjejaskan restoran makanan segera itu.

Pengurus itu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, terdapat kejatuhan besar dalam perniagaan, terutamanya dalam kalangan pelanggan Melayu.

“Kami terpaksa memotong waktu bekerja kerana tidak ramai pelanggan terutama orang Melayu selepas konflik Gaza meletus.”

“Saya dengar di beberapa tempat, mereka kini beroperasi sehingga 2 pagi dan bukannya 24 jam,” kata pengurus itu.

Terdapat juga laporan mengenai kakitangan McDonald’s dilabel sebagai penyokong Yahudi dan menerima pelbagai cemuhan dan penghinaan.

Sebuah agensi PR yang diupah oleh Gerbang Alaf memberitahu The Malaysian Insight ia tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai gesaan boikot itu.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pengguna supaya tidak memboikot McDonald’s Malaysia kerana syarikat itu telah memberi penjelasan. Syarikat itu juga membayar zakat melalui pejabat pengurusan zakat di beberapa negeri.

Wan Salim berkata sebarang langkah atau tindakan untuk memboikot mestilah berdasarkan bukti yang jelas dan di luar keraguan munasabah, dan bukan hanya berdasarkan khabar angin dan andaian yang akhirnya boleh menyebabkan orang lain dianiaya dan dihukum. – 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen