Parti Bersatu dilanda panik?


Mohd Azizi Jaeh

Sebagai parti pembangkang, Bersatu sangat terdedah kepada anggota dan ahlinya yang bila-bila masa boleh menjadi pelarian politik dan menukar haluan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2023.

PARTI Bersatu digemparkan dengan tindakan empat anggota parlimennya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan blok kerajaan.

Malang sekali, pendirian tersebut mencederakan dan hampir memusnahkan impian Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk menggulingkan kerajaan.  

Bagaimana Bersatu yang ghairah (tanpa henti) untuk menggantikan kerajaan tampil sebagai pembangkang berwibawa?

Sedangkan parti itu sedang dibelit krisis kepanikan apabila wakil rakyatnya mengambil keputusan bertentangan dengan ketetapan parti.

Rupanya drama dan permainan lompat parti tidak pernah berkesudahan.

Pertembungan biasanya bermula dengan niat untuk menggulingkan kerajaan atau menggantikan seseorang yang sedang berkuasa (baca: perdana menteri) – dan orang yang sedang berkuasa pula bertindak balas untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya dengan mencetuskan elemen kejutan.

Hasilnya tercetusnya lompat parti dengan kaedah baharu – mengisytiharkan diri kekal dengan parti asal, tetapi menyokong blok kerajaan.

Bermula dengan pengisytiharan ahli Parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan akhirnya Jeli. Kesemuanya daripada Bersatu.

Dengan demikian, penulis menyimpulkan separuh daripada perlumbaan untuk membeli sokongan dan pengaruh ahli Parlimen telahpun dimenangi oleh parti kerajaan.

Nasib tidak menyebelahi Bersatu ketika ini. Dalam politik macam-macam plot boleh berlaku. Suasana panik terus menghambat.

Anggota Parlimen Bersatu menyedari betapa beratnya tanggungjawab yang patut dipikul.

Kemampuan menyediakan perkhidmatan tanpa sebarang pendanaan sangat menyukarkan. Kekurangan ini cukup merisaukan mereka.

Sebelum PRU15 mereka selesa dengan kedudukan sebagai ahli Parlimen daripada parti kerajaan.

Apatah lagi, Bersatu yang baru berusia tujuh tahun memiliki sumber kewangan ratusan juta dalam akaunnya kini telahpun dibekukan. Tekanan dan masalah kewangan yang dihadapi pasti akan menjejaskan kerja-kerja khidmat sebagai ahli Parlimen di kawasan mereka.

Kesannya boleh melahirkan keretakan dan konflik dalaman parti. Menjadi parti pembangkang dalam beberapa situasi ibarat memijak jerangkap samar politik yang dipasang oleh penguasa.

Tidak mustahil akan ada lagi yang menyusul tindakan ini memandangkan tempoh penggal Parlimen ke-15 masih panjang. Bahkan anggota Parlimen Bersatu yang menyeberang dilandasi beberapa faktor.

Bukan hanya ketidakyakinan kepada parti yang sampai sekarang tidak berupaya mengambil alih kerajaan, tetapi godaan dan tawaran peruntukan antara pertimbangan mereka mengalih sokongan.

Sebagai parti pembangkang, Bersatu sangat terdedah kepada anggota dan ahlinya yang bila-bila masa boleh menjadi pelarian politik dan menukar haluan.

Bagi yang mengkritik tindakan ahli Parlimen yang melompat parti, mereka sinis menyatakan wakil diri dulu kemudian barulah wakil rakyat.

Lagi pula, aktor-aktor utama dalam drama politik (seperti Langkah Sheraton) itu semuanya masih ada, menunggu waktu dan situasi yang sesuai untuk bertindak.

Kalau pihak kerajaan tidak berbuat sesuatu, maka pembangkang jika dibiarkan boleh mencemaskan kedudukan kerajaan.

Hidup mati sesebuah kerajaan bergantung di tangan bilangan anggota Parlimen yang menyokong. Begitu berharganya setiap ahli Parlimen.

Tambahan pula menyokong seseorang yang berkuasa secara terang-terangan bukanlah sekadar jalan selamat, tetapi berkemungkinan amat menguntungkan.

Jika ahli Parlimen menyokong pandangan pemimpin parti sedia ada – meskipun yang disokong itu sekadar pendirian – maka besar kemungkinan ahli Parlimen itu berdepan pelbagai tekanan dan masalah.

Selain itu, isu sokongan wakil rakyat Bersatu ini memberi tamparan terhadap kepemimpinan Muhyiddin apabila tidak mampu mengikat kesetiaan ahli parti, sedangkan sekutu mereka dalam gabungan PN iaitu ahli Parlimen PAS yang dipimpin Abdul Hadi Awang tetap kekal teguh bersama parti mereka.

Sebenarnya, baik yang menjadi kerajaan atau kumpulan yang kini menjadi pembangkang  masih belum aman jiwanya.

Begitulah gara-gara suasana politik yang terus membahang selepas PRU14 dan PRU15.

Keterlanjuran ini akan membawa pelbagai reaksi dan polemik. Sungguhpun telah ada akta antilompat parti diluluskan pada 2022, ia masih meninggalkan kelompongan.

Jawab menjawab terus berlaku. Siapa yang memulakan adegan curang ini? Dan pelbagai soalan timbul berhubung keberkesanan dan fungsi akta tersebut masih tidak mampu mengekang amalan lompat parti.

Ironinya, PN menjadi mangsa akibat keputusan sendiri yang menentang draf asal pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A 1663) berhubung isu lompat parti.

Draf asal pada mulanya mencadangkan ahli Parlimen yang bertindak bertentangan dengan segala keputusan parti dikira hilang kerusi.

Namun wakil PN yang menjadi kerajaan waktu itu itu tidak setuju dengan usul itu dimasukkan menjadi akta.

Akhirnya ahli Parlimen yang dikira gugur dan hanya hilang kerusi hanya mereka yang masuk parti lain dan isytihar menjadi bebas.

Dalam konteks empat ahli Parlimen Bersatu yang umumkan kekal bersama parti dan menyokong perdana menteri, mereka tidak terlucut dan terselamat.

Dengan segera Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyatakan kekesalan dan kelemahan akta yang mereka sendiri gubal tahun lalu.

Bayangkan jika draf asal tersebut mereka terima dan persetujui, pasti Bersatu tidak menerima nasib seperti ini.

Mungkin ungkapan seorang ahli falsafah berbangsa Jerman Eric Fromm wajar sekali dihayati oleh kepimpinan Bersatu iaitu “nafsu untuk berkuasa tidak berakar pada kekuatan, tetapi pada kelemahan.” – 14 November, 2023.
 

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen