CPEC mampu bawa manfaat kepada rakyat Pakistan


CPEC sudah membawa limpahan manfaat kepada rakyat Pakistan khususnya penduduk di wilayah Balochistan. – Gambar fail EPA, 13 November, 2023.

PAKISTAN menanti-nantikan fasa kedua Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) dan percaya koridor ini dapat membawa limpahan manfaat kepada masyarakat tempatan, kata perdana menterinya Anwar ul Haq Kakar.

Beliau berkata pembinaan CPEC fasa pertama yang antara lain merangkumi pelabuhan Gwadar, jalan raya dan lapangan terbang serta beberapa projek tenaga sudah siap dan membuahkan hasil menggalakkan.

“CPEC sudah membawa limpahan manfaat kepada rakyat Pakistan khususnya penduduk di wilayah Balochistan,” kata Kakar ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Sejak sedekad lalu, China dan Pakistan memperkasakan pembinaan CPEC sehingga diperluaskan ke dalam sektor pertanian, perlombongan, sains dan teknologi serta teknologi maklumat.

Pembinaan CPEC mendorong pembinaan koridor pertumbuhan, kesejahteraan rakyat, inovatif, hijau dan terbuka antara China dengan Pakistan, sekali gus menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara bahkan serantau.

Mengulas mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Kakar berkata berbanding mekanisme multilateral lain, pembinaan bersama BRI bergantung kepada kaedah ekonomi, bukanlah berniat mengubah dunia melalui kekuatan dan kekerasan.

“China tidak berhasrat menegakkan indentiti budaya tunggal melalui BRI baik di peringkat global atau serantau. 

“Kelebihan utama inisiatif itu tersemat dalam budaya bangsa China, di samping menerima dan menghormati perbezaan dari luar dan tidak mencetuskan kebencian ekoran perbezaan itu,” kata Kakar.

Sebagai projek utama dalam kerjasama China-Pakistan dan antara projek rintis dalam BRI dan CPEC sejak sedekad lalu, membuktikan ia bermula sekadar idea tetapi kini menjadi kenyataan.

Setakat hujung 2022, CPEC berjaya menarik pelaburan langsung bernilai AS$25.4 bilion untuk Pakistan, mencipta 155,000 peluang pekerjaan, menambah jalan raya sepanjang 510 kilometer, sekali gus menyediakan asas teguh kepada kesalinghubungan infrastruktur dan perindustrian serta pertumbuhan sosioekonomi negara itu secara berterusan. – Bernama, 13 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen