Anwar harap hubungan dua hala Malaysia-Pakistan dipertingkat


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Perdana Menteri sementara Pakistan Anwaar-ul-Haq Kakr di Arab Saudi. – Gambar Facebook, 12 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berharap mesyuarat bersama Perdana Menteri sementara Pakistan Anwaar-ul-Haq Kakr semalam mampu meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara berkenaan ke tahap lebih tinggi.

Beliau juga berharap hubungan mesra dan persaudaraan antara kedua-dua negara akan terus berkembang.

Turut hadir pada mesyuarat dua hala di luar sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan serangan serta kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin itu ialah Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin.

Pemimpin dan delegasi negara anggota OIC berhimpun pada sidang kemuncak itu yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga perdana menteri Arab Saudi.

Sidang kemuncak tergempar itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdul Aziz  di Riyadh, diadakan susulan penglibatan ekstensif Anwar dan beberapa pemimpin OIC berkaitan isu Palestin selain serangan serta kekejaman berterusan rejim Israel.

Bercakap di hadapan para pemimpin Islam pada sidang itu, perdana menteri menggesa negara anggota OIC secara konsisten mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan. – Bernama, 12 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen