Virus polio dikesan dalam sampel alam sekitar di Karachi, Pakistan


Seorang pekerja kesihatan memberikan ubat polio kepada kanak-kanak semasa kempen vaksinasi di Karachi. – Gambar AFP, 3 November, 2023.

VIRUS polio dikesan dalam sampel alam sekitar di Karachi, ibu kota wilayah Sindh di selatan Pakistan, lapor Xinhua memetik kenyataan Jabatan Kesihatan wilayah.

Virus itu secara genetiknya dikaitkan dengan kelompok virus polio yang pada asalnya ditemui di Afghanistan, kata jabatan itu dalam satu kenyataan semalam.

Sejak awal tahun ini kira-kira 20 sampel seumpama itu ditemui di wilayah Punjab di timur dan Khyber Pakhtunkhwa di barat laut selain Karachi dengan kerajaan mengambil langkah ketat memastikan kanak-kanak divaksin.

Menteri Kesihatan Nadeem Jan memberitahu media langkah-langkah kecemasan sedang diambil untuk membasmi polio.

Selepas pengesanan virus polio di bandar, kempen vaksinasi khas anti-Polio dijalankan dari 30 Oktober hingga 3 November dengan 10 juta kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah divaksin di kediaman mereka.

Beliau menggesa ibu bapa supaya memberi kerjasama kepada pasukan vaksinasi polio bagi menyelamatkan anak-anak mereka daripada hilang upaya kekal.

Pakistan adalah antara dua negara dunia di mana polio masih endemik, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – Bernama, 3 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen