9 penyerang maut dalam serbuan di pangkalan udara Pakistan


Seorang askar Pakistan berkawal di pos pemantau di pangkalan Tentera Udara Pakistan selepas serangan militan di Peshawar pada 18 September 2015. – Gambar fail AFP, 4 November, 2023.

SEMBILAN lelaki bersenjata yang menyerang pangkalan latihan tentera udara Pakistan hari ini terbunuh, menurut pasukan tentera negara itu.

Kumpulan yang bersekongkol dengan pasukan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

“Semua sembilan pengganas telah dihantar ke neraka”, kata tentera dalam satu kenyataan, sambil menambah operasi sudah berakhir.

Tiga lelaki terbunuh sebelum mereka memasuki pangkalan itu, dan tiga penyerang lain telah “ditangkap /diasingkan”, kata tentera sebelum ini.

Tehreek-e-Jihad Pakistan (TJP), kumpulan militan baru yang merupakan sekutu kepada pergerakan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dalam satu kenyataan kepada media, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Lelaki bersenjata menyerbu pangkalan itu pada awal pagi hari ini di bandar Mianwali, di tengah wilayah Punjab, berhampiran sempadan Khyber Pakhtunkhwa.

“Operasi yang berjaya itu dilancarkan oleh pasukan keselamatan untuk menghapuskan sebarang potensi ancaman di kawasan sekitar,” kata tentera.

“Beberapa kerosakan berlaku kepada tiga pesawat yang tidak beroperasi secara berperingkat sewaktu serangan itu,” tambahnya, tanpa mengulas lanjut.

Penganalisis berkata kumpulan militan semakin berani sejak pasukan Taliban di Afghanistan kembali berkuasa pada 2021.

Pakistan kerap menuduh jirannya melindungi militan yang merancang dan melancarkan serangan dari Afghanistan.

Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan kerajaan Taliban.

Serangan di wilayah Punjab, bagaimanapun, jarang berlaku.

Pergerakan TTP berkongsi ideologi Islam yang sama dengan rakan sejawat mereka di Afghanistan. – AFP, 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen