Drama politik pasca-PRU14 kembali


G Manimaran

Peratusan keluar mengundi dalam tiga pilihan raya negeri sebelum PRU15 19 November sangat rendah, antara lain berkaitan dengan tindakan segelintir wakil rakyat dan parti yang mengetepikan mandat yang diberikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

MENJELANG ulang tahun pertama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Ahad ini, negara dikejutkan dengan satu lagi perkembangan politik. Empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mewakili Bersatu bertindak menyokong kerajaan perpaduan. Bagi Bersatu perkembangan ini satu lagi tragedi politik selepas empat wakil rakyat dari Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk tidak lagi bersamanya sejak Disember lalu.

Tindakan empat wakil rakyat itu muncul di sebalik cakap-cakap dan kenyataan demi kenyataan pemimpin PN bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akan tumbang dalam waktu terdekat. Pemimpin PN mendakwa mereka mempunyai angka untuk menggegarkan kerajaan persekutuan yang dianggotai oleh pelbagai parti buat kali pertama dalam sejarah negara.

Menariknya berbanding apa yang disaksikan 11 bulan yang lalu, wakil rakyat PN terbabit tidak mengisytiharkan mereka keluar Bersatu, sebaliknya menyatakan sokongan kepada kerajaan yang diterajui Anwar. Langkah itu membawa kepada keputusan Bersatu menggantung wakil rakyat antara empat dan enam tahun. Di sebalik perkembangan itu, mereka juga, menurut kenyataan speaker, telah meminta agar diubah tempat duduk mereka di Dewan Rakyat. Keputusan akan diketahui dalam beberapa hari lagi.

Bersatu pula mendakwa wujud unsur rasuah di sebalik tindakan wakil rakyat terbabit. Bagi merungkaikan teka-teki Bersatu dilaporkan akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Muhyiddin Yassin berkata Bersatu sudah mengumpul bukti ahli-ahli Parlimen berkenaan telah diugut dan ditawarkan habuan supaya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar. SPRM menafikan mereka mempunyai sebarang pengaruh atau tangan dalam keputusan empat ahli Parlimen terbabit.

Seperti lazimnya pelbagai pandangan dan ulasan telah dilontarkan susulan drama politik terbaharu. Ini termasuklah kenyataan bahawa tindakan Bersatu telah memakan diri mereka memandangkan parti itu tidak bersetuju dengan peruntukan yang lebih tegas ketika proses menggubal undang-undang antilompat parti pada tahun lalu, beberapa bulan menjelang PRU15.

Pendirian tidak tegas telah didedahkan oleh Speaker Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa satu persidangan anjuran Bersih pada April lalu, dan perkara itu telah diulangi oleh beliau dalam satu laporan akhbar tempatan beberapa hari lalu. Wan Junaidi, ketika itu menteri yang mengetuai portfolio institusi parlimen dan undang-undang menegaskan, jawatankuasa beliau ketuai telah mengesyorkan satu kerangka perundangan yang lebih padu tetapi ditolak oleh Kabinet. Kemudiannya mereka tampil dengan undang-undang yang diluluskan pada Julai 2022.

Penggubalan undang-undang berkaitan larangan lompat parti menjelang PRU15 telah membawa kepada perubahan semangat dalam kalangan pengundi untuk keluar mengundi dalam pilihan raya 19 November lalu. Satu salah faktor yang mengubah mood orang ramai untuk kembali aktif dalam proses pilihan raya ialah keputusan kerajaan memperkenalkan undang-undang berkaitan.

Perlu diakui bahawa ia telah memberikan suntikan baharu dalam mengaktifkan keinginan untuk mengundi dalam pilihan raya. Peratusan keluar mengundi dalam tiga pilihan raya negeri sebelum PRU15 19 November sangat rendah, antara lain berkaitan dengan tindakan segelintir wakil rakyat dan parti yang mengetepikan mandat yang diberikan.

Empat wakil rakyat Perikatan Nasional mewakili Bersatu mengejutkan arena politik negara apabila mengumumkan sokongan mereka kepada kerajaan Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

Susulan tragedi politik 2020 ramai memutuskan untuk mengambil langkah ke belakang. Ramai memutuskan untuk tidak akan keluar mengundi. Suasana itu berlarutan sehingga pertengahan tahun lalu. Perasaan kecewa dengan tindak-tanduk sebahagian aktor politik termasuk wakil rakyat keluar gabungan dan menyertai parti lain telah membawa kepada semangat negatif – tidak mahu lagi mengundi dan memberi mandat kuasa politik kepada mana-mana parti. Kekecewaan selama dua tahun kendur apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengekang perbuatan melompat parti.

Para pengundi kelihatan ceria apabila mengetahui bahawa undang-undang yang diharapkan untuk menghapuskan katak politik akhirnya muncul. Para pengundi meletakkan harapan bahawa negara bakal menyaksikan amalan politik yang lebih dinamik dan sihat.

Nampaknya hayat harapan itu tidak kekal lama.

Saya secara peribadi telah melontarkan pandangan bahawa kerangka perundangan yang diluluskan pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat tidak cukup kuat. Peruntukan itu belum mantap. Ada banyak kekurangan yang tidak mampu untuk mengawal perbuatan melompat parti. Meskipun proses kelulusan itu dengan sendiri mencipta sejarah, malangnya keunikan proses itu tidak meletakkan perisai padu untuk menghalang perbuatan lompat parti.

Harapan untuk melihat undang-undang sedemikian muncul awal 1990-an. Selepas lebih tiga dekad, ia menjadi kenyataan meskipun pemimpin-pemimpin politik sendiri pernah mendakwa sukar untuk berbuat demikian atas alasan ia bercanggah dengan kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tidak sampai satu tahun undang-undang itu diluluskan negara telah diuji dengan tindakan pertama empat wakil rakyat keluar gabungan mereka. Nasib yang sama melanda Bersatu pada hari ini. Perbuatan itu bukan sahaja menguji Bersatu, malah seluruh landskap politik negara dan juga institusi Parlimen yang meluluskan peruntukan yang diharapkan.

Kita perlu tutup lompong yang sedia jelas di hadapan kita. Kerajaan perpaduan perlu melakukan sesuatu untuk menutup kekurangan dan kelemahan sedia ada. Apa yang berlaku ke atas Bersatu boleh terjadi ke atas mana-mana parti, termasuk yang duduk sama membentuk kerajaan perpaduan.

Meskipun beberapa parti, antaranya Umno dan DAP, telah meminda perlembagaan parti masing-masing selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dalam soal melarang keluar parti dan menyertai parti lain, tetapi nasib Bersatu boleh menimpa mana-mana parti – dalam waktu terdekat dan dalam jangka panjang.

Kerajaan Perpaduan perlu melakukan sesuatu menghalang gejala lompat parti yang boleh memberi risiko kepada semua parti politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

Ya betul, apa yang diputuskan oleh empat wakil rakyat terkini Bersatu tidak salah daripada segi undang-undang semasa. Bagaimanapun daripada segi moral ia menjadi satu isu serius. Begitu juga bagi kerajaan perpaduan yang menerima sokongan bersyarat iaitu mahukan peruntukan atau dana untuk menguruskan kawasan masing-masing. Ahli Parlimen Bukit Gantang yang menyatakan bahawa akan memberikan sokongan kepada Anwar jika diberikan peruntukan RM30 juta di bawah Belanjawan 2024. Sokongan bersyarat ini memerlukan kita berfikir dengan mendalam akan kedudukan wakil rakyat dan institusi parlimen.

Kerajaan perpaduan juga perlu berpandangan jauh akan kedudukan dan sokongan rakyat. Lihat kesan negatif tindakan sejumlah wakil rakyat Umno keluar parti untuk menyokong dan menyertai parti lain. Akhirnya kerajaan jatuh selepas 22 bulan.

Kemungkinan nasib yang sama akan berulang. Jangan beri ruang kepada kemungkinan itu.

Jangan sampai rakyat kecewa buat kali kedua. Jangan sampai drama politik pasca-PRU14 berulang. Jika berulang, ia akan membunuh roh demokrasi yang kita telah bina selama ini. Rakyat akan kecewa buat selama-lamanya. Kekecewaan baharu akan merugikan kesemua parti politik dalam PRU16.

Inilah masa untuk aktor-aktor politik membetulkan kesilapan mereka dan kekurangan undang-undang semasa. Jangan syok sendiri untuk nikmati survival politik jangka pendek. – 13 November, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen