Harimau lihat manusia sebagai ‘mangsa mudah’, kata pakar zoologi


Alfian Z.M. Tahir

Harimau Malaya sedang berdepan situasi kritikal, dengan jumlah populasinya berkurangan daripada kira-kira 3,000 kepada antara 120 hingga 150 akibat daripada pemburuan haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

HARIMAU Malaya, spesis yang diancam kepupusan, kini mula menjadikan manusia sebagai makanannya di Gua Musang, Kelantan kerana habitat semulajadi mereka sedang dimusnahkan, kata pakar zoologi Universiti Malaya Amlir Ayat.

“Harimau serang manusia bukan perkara baru. Ketika zaman 1950-an, sudah ada kes seperti itu walaupun habitat mereka tidak diganggu. Mereka keluar untuk cari mangsa mudah.

“Sekali harimau tangkap manusia, dia akan mula memburu manusia kerana itu mangsa yang mudah,” katanya.

Dalam tempoh dua bulan lalu, tiga serangan harimau berlaku di Gua Musang, dengan yang terbaru adalah pada Sabtu membabitkan seorang warga Myanmar di ladang getah.

Harimau Malaya sedang berdepan situasi kritikal, dengan jumlah populasinya berkurangan daripada kira-kira 3,000 kepada antara 120 hingga 150 akibat daripada pemburuan haram.

Dan penebangan hutang di Kelantan dan Perak menyebabkan mereka terpaksa keluar ke kawasan dihuni manusia.

“Jumlah populasi mereka berkurangan setiap tahun dan sesuatu perlu dilakukan,” kata Amlir yang juga mengkaji hariman untuk beberapa projek bebas.

Amlir yang juga presiden kumpulan alam sekitar EcoKnights, berkata kerajaan dan agensinya perlu menghentikan penebangan hutan dan membanteras pemburu haram.

“Habitat harimau adalah di hutan, mereka tidak tinggal berhampiran dengan manusia. Masalahnya adalah penebangan hutan.

“Harimau tidak boleh memburu jika tiada hutan lagi. Mereka tidak ada pilihan kecuali mencari makanan dalam kandang haiwan ternakan atau di kawasan perumahan. Ini adalah mangsa mudah.”

Pada September, pengendali sukan luar di Hulu Selangor terpaksa menghentikan sementara perniagaan selepas beberapa harimau dilihat di kawasan itu. Daerah itu mempunyai hutan simpan dengan air terjun, jeram dan empangan yang sering dikunjungi peminat sukan luar.

Ketua kampung Orang Asli di Serendah Tok Batin Sira berkata penduduk dikatakan ternampak kelibat harimau di sekitar Batang Kali dan Gerachi Jaya.

“Kami tak kacau harimau, ini kawasan mereka. Tetapi saya selalu ingatkan penduduk untuk berhati-hati ketika berada di dalam hutan.

“Saya lahir dan dibesarkan di sini. Harimau tidak pernah kacau kami,” katanya.

Amlir turut menggesa kerajaan untuk memberi peruntukan bagi memantau pemburuan haram.

“Perlu ada kerjasama daripada kerajaan, Jabatan Perhutanan dan tentera. Pemantauan bukan kerja mudah. Mereka perlu ada di dalam hutan sekurang-kurangnya dua minggu,” kata Amlir.

“Ada orang yang sanggup buat, tetapi berbaloi atau tidak? Dengan peruntukan bersesuaian, saya percaya mereka sanggup.

“Bukan harimau yang patut kita bimbangkan tetapi pemburu haram kerana mereka ada senjata,” katanya.

Beberapa hari lalu, seekor harimau ditemui mati berhampiran kawasan rehat Gua Tempurung di Lembuhraya Utara-Selatan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata harimau jantan itu yang dianggarkan berusia antara lapan dan 10 tahun, dipercayai dilanggar treler, menurut hasil siasatan Jabatan Perhilitan. – 13 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen