Bekalan ikan cukup tapi permintaan merosot, kata pemborong


Angie Tan

Presiden Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia Chia Tian Hee berkata hasil tangkapan ikan ketika ini banyak hingga menyebabkan peti sejuk beku penuh dengan bekalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

BEKALAN ikan domestik ketika ini mencukupi meskipun musim Monsun Timur Laut dijangka menghalang nelayan untuk turun ke laut akibat cuaca buruk, kata Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia.

Presidennya Chia Tian Hee berkata hasil tangkapan ikan ketika ini banyak hingga menyebabkan peti sejuk beku milik pembekal penuh dengan bekalan.

Chia berkata, dua hingga tiga bulan lalu adalah musim tangkapan ikan yang baik untuk nelayan.

“Operasi menangkap ikan berjalan seperti biasa dan tidak terjejas meskipun dengan keadaan cuaca ketika ini,” katanya.

Chia bagaimanapun berkata jika cuaca buruk maka nelayan akan berwaspada untuk turun ke laut.

“Kami mempunyai bekalan ikan yang mencukupi dan pengguna tidak perlu bimbang mengenai kenaikan harga ikan.”

Presiden Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru Tai Wah Sun berkata meskipun tangkapan ikan mencukupi, namun jualannya merosot sebanyak 30% hingga 40%, menyebabkan ramai penjual dan nelayan mengeluh.

“Ia mungkin berkaitan dengan isu air sisa nuklear Jepun, yang membimbangkan sebahagian pengguna untuk mengurangkan makan makanan laut.”

Presiden Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru Tai Wah Sun berkata meskipun tangkapan ikan mencukupi, namun jualannya merosot sebanyak 30% hingga 40%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

Ia turut diakui sendiri Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock yang berpandangan isu air sisa nuklear Jepun mendorong jualan hasil laut perlahan.

Dalam pada itu, Tai berkata pengguna tidak perlu bimbang kerana kerajaan sudah memasang sistem pemantauan di perairan Sabah bagi mengesan tahap radiasi sepanjang waktu.

Katanya, berikutan jualan pasaran yang lemah, ramai peniaga memilih untuk membekukan ikan segar dan besar.

“Sebahagian peti sejuk milik peniaga penuh dengan puluhan ribu tan ikan.”

Sementara itu, Sing berkata meskipun Monsun Timur Laut sudah bermula, namun eksport ikan ke Thailand dan Indonesia masih tinggi iaitu sebanyak 60%, manakala hasil tangkapan tempatan menyumbang 40%, maka bekalan semasa adalah mencukupi.

“Tetapi, jualan agak perlahan. Ini adalah kali pertama saya melihat situasi suram seperti itu di pasaran dalam tempoh lebih 20 tahun berada dalam industri ini.”

Sing berkata jualan mula merosot sekurang-kurangnya 20% hingga 30% sejak Ogos lalu.

Sing berkata disebabkan terdapat lebihan bekalan, maka sebahagian ikan terpaksa dijual pada harga rendah.

“Harga borong ikan sardin dulu RM10 sekilogram, tetapi kini turun kepada RM4. Harga borong ikan cencaru kini RM4.50 hingga RM5 sekilogram berbanding harga sebelum ini RM9 hingga RM9.50.

“Selain itu, harga borong ikan tenggiri sebelum ini ialah RM38 sekilogram, tetapi kini turun kepada RM27 ke RM28.” – 13 November, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen