Kerajaan belanja lebih RM600 juta untuk elaun sara hidup nelayan 


KERAJAAN membelanjakan RM622.88 juta bagi pembayaran elaun sara hidup nelayan sejak 2018 hingga 2022, dalam usaha membantu meringankan beban golongan itu menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata elaun itu, yang diperkenalkan 2008, menyaksikan nelayan laut menerima RM300 sebulan dan RM250 sebulan bagi nelayan darat. 

“Sementara itu bagi skim subsidi diesel, nelayan boleh mendapatkan diesel dengan harga RM1.65 seliter dan bagi tempoh 2018 hingga 2022, nilai subsidi direkodkan berjumlah RM3.61 bilion, satu angka besar,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang mahu tahu jumlah bantuan sara hidup yang disalurkan kepada nelayan di setiap negeri dari 2018 hingga 2022.

Mohamad berkata kerajaan turut membelanjakan RM74 juta bagi pembayaran Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sejak 2018 hingga tahun lepas yang memberi manfaaat kepada 29,529 nelayan.

Sebanyak RM7.5 juta pula dibelanjakan bagi tempoh 2018 hingga 2022 bagi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, bertujuan memberi sumbangan segera kepada nelayan ditimpa kemalangan, kemusnahan atau kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa, kata Mohamad.

Pada tahun ini, katanya RM2 juta diperuntukkan bagi melaksanaan skim berkenaan yang mula dilaksanakan 2009.  – Bernama, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen