Harga ikan mahal di Terengganu ikut musim, kata persatuan nelayan


Diyana Ibrahim

Faktor cuaca dan permintaan yang berubah-ubah turut menentukan bekalan ikan cukup atau berlebihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2023.

HARGA ikan di Terengganu turun naik bergantung pada permintaan pasaran dan keadaan cuaca semasa biarpun negeri itu antara sumber utama bekalan ikan untuk Malaysia, kata penggiat industri dan persatuan nelayan.

Harga yang naik turun itu, jelas mereka, perkara biasa kerana pelbagai faktor lazimnya cuaca dan permintaan yang berubah-ubah yang akan menentukan bekalan ikan cukup atau berlebihan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassin Mohammed berkata pada masa ini harga ikan di pasaran turun kerana lambakan stok sedia ada.

“Pada bulan September ini harga ikan jatuh kerana tangkapan ikan itu banyak, jadi dapat memenuhi permintaan pasaran.

“Contoh untuk bulan ini, macam ikan rakyat, ikan selayang turun dalam RM6 sekilo,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun beliau mengakui sebelum ini harga ikan naik dalam tempoh dua bulan lepas.

Mat Yassin mengulas keluhan rakyat tentang kenaikan harga ikan di Terengganu, yang mencetuskan tanda tanya kerana ia antara negeri sumber bekalan ikan Malaysia.

Sejak 2019, harga ikan yang didaratkan oleh nelayan di Terengganu dikesan meningkat antara 30% hingga 80% bergantung pada jenis ikan.

Menurut peniaga ikan di pasar Chabang Tiga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 32, harga ikan kembung di pasar Terengganu kini mencecah sehingga RM22 sekilogram berbanding hanya RM13 pada 2019.

Katanya harga ikan selar juga naik antara RM18 hingga RM20 bagi 1kg berbanding RM13 bagi satu 1kg pada lima tahun lepas.

Bagaimanapun, Exco Terengganu Azman Ibrahim berkata harga ikan di Terengganu masih murah berbanding dengan harga pasaran di Kuala Lumpur.

Beliau baru-baru ini memuat naik data Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membandingkan perbezaan harga ikan Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur dalam tempoh lima tahun ini di laman Facebooknya.

Sebagai contoh data LKIM menunjukkan harga ikan tongkol di Terengganu adalah pada kadar RM10.57 bagi sekilo dengan hanya perbezaan RM1 bagi harga jenis ikan sama di pasaran Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Mat Yassin menjelaskan harga ikan lebih mahal dari tahun ke tahun kerana kos perjalanan nelayan yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun ini.

“Biarpun kita ada subsidi minyak yang diberi kerajaan itu saya akui banyak membantu. Tapi subsidi itu ada kuota ikut jenis enjin bot.

“Kalau bot yang jenis tekong ini biasa bagi nelayan laut dalam yang banyak lakukan perjalanan mereka terpaksa tambah juga minyak sendiri.

“Kemudian dengan permit lagi, bayar kos awak- awak nelayan atau pekerja, kos penyelenggaran bot, minyak enjin, kos itu semua naik,” katanya.

Sementara seorang peraih yang mahu dikenali sebagai Che Awang, 61, menolak faktor kenaikan harga kerana peraih atau orang tengah cuba mengambil keuntungan.

Che Awang berkata harga ikan di Terengganu memang mengikut permintaan semasa dan bukan kerana orang tengah cuba ambil kesempatan menaikkan harga.

“Permintaan mempengaruhi harga pasaran. Ini asas ekonomi. Bukan di Terengganu sahaja, di mana-mana negeri pun sama sebenarnya.

“Kalau permintaan tinggi, ikan ada jadi harga ikan di pasaran akan stabil. Tapi kalau permintaan tinggi ikan tak ada contoh disebabkan cuaca, musim tengkujuh maka harga ikan akan naik,” katanya.

Katanya, harga Ikan di Terengganu mahal juga kerana ia turut bergantung jenis, saiz dan kesegaran ikan itu.

“Macam di Terengganu, memang harga ikan akan mahal sedikit sebab kualiti ikan negeri paling terbaik dan segara. 

“Memang ikan dari Terengganu ada permintaan tinggi daripada peraih luar,” katanya. – 26 September, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen