Polis Singapura nafi sengaja rosakkan pukat nelayan tempatan


Ravin Palanisamy

PASUKAN Polis Singapura (SPF) hari ini menafikan laporan media yang mendakwa pengawal pantai (PCG) Singapura memasuki perairan Malaysia dan sengaja merosakkan pukat ikan milik nelayan tempatan.

Dalam satu kenyataan, SPC berkata pengawal pantai yang sedang membuat rondaan ternampak sebuah kapal nelayan Malaysia di perairan Singapura di Tuas pada 14 Ogos jam 6.55 pagi dan menasihatkan mereka meninggalkan kawasan itu.

“Ketika itu, terdapat beberapa lagi kapal nelayan di kawasan sekitar namun mereka berada di Perairan Wilayah Malaysia.

“Pengawal pantai menghubungi nelayan atas kapal di Perairan Wilayah Singapura itu dan menasihatkannya untuk pergi.

“Selepas itu, pukat tersangkut di kipas bot pengawal pantai kerana berundur untuk mengelak daripada memasuki perairan Malaysia.

“Jaring itu kemudiannya rosak ketika cuba untuk melepaskannya dari kipas,” kata SPF, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan sebuah bot pengawal pantai Singapura memasuki perairan Malaysia merosakkan pukat nelayan tempatan.

Kata SPF, laporan itu tidak benar memandangkan insiden itu berlaku di perairan Singapura.

“Pengawal pantai menguatkuasakan undang-undang Singapura di dalam perairan Singapura,” katanya.

Insiden itu menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata beliau akan membentangkan usul dalam persidangan DUN akan datang untuk memetakan semula sempadan Melayu-Singapura di Selat Johor.

SPF berkata nelayan terlibat dalam insiden ini juga terlibat dalam kejadian Oktober 2022 yang sebelum ini dinasihatkan untuk meninggalkan kawasan tembakan di perairan Singapura.

Menurut polis, nelayan itu membuat dakwaan palsu dengan mengatakan dia berada di perairan Malaysia sedangkan tidak.

Polis juga mengeluarkan penjelasan sama berhubung kejadian itu. – 20 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen