Nelayan serah memorandum bantah projek PSI kepada Agong


Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang akan menjejaskan pendapatan nelayan di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2023.

LEBIH 4,000 orang terutama nelayan mengadakan perhimpunan aman membantah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dijalankan di Pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) Ibrahim Che Ros berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan projek itu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon agar baginda dapat melihat nasib nelayan di Pulau Pinang.

“Kami sedang menyiapkan memorandum itu dan akan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat supaya baginda dapat melihat nasib kami nelayan di sini jika projek PSI itu diteruskan dan seterusnya membantu kami.

“Kami juga merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah projek PSI di Parlimen dalam masa terdekat dan menyerahkan memorandum kedua bantahan projek ini kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kami sangat berharap beliau dapat mendengar suara nelayan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman itu hari ini.

Perhimpunan aman itu bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dihadiri penduduk setempat serta ahli pertubuhan bukan kerajaan antaranya Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) serta Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). – Bernama, 14 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen