APMM Kelantan tahan 4 bot, 24 nelayan Vietnam


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 24 nelayan warga Vietnam bersama empat bot kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara, Khamis lepas.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kesemua mereka ditahan pada kedudukan antara 90 hingga 106 batu nautika dari Muara Tok Bali.

Beliau berkata bot pertama ditahan kira-kira 6.52 petang manakala tiga lagi dikesan antara 9.52 malam hingga 10.24 malam.

“Kesemua bot enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan negara apabila kapal penguat kuasa memberi arahan untuk menghentikan bot.

“Kapal Maritim (KM) Jujur APMM terus bertindak memintas dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot berkenaan sehingga mereka mengalah dan akur memberi kerjasama,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali, di Pasir Puteh hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Nor Adli berkata nilai keempat-empat bot termasuk peralatan menangkap ikan dan 1,200 liter bekalan minyak diesel ditaksirkan berjumlah RM1.66 juta.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 315(1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

“Empat tekong terlibat juga disyaki melanggar Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pegawai penguat kuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam hal memasuki kawasan perikanan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Jika sabit kesalahan bagi kes perikanan, tekong boleh dihukum denda sehingga RM6 juta manakala RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985,” katanya. – Bernama, 15 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen