AHLI Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berikrar akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekiranya permohonan peruntukannya untuk kawasannya diluluskan.
“Dengan hati yang ikhlas, kalau diluluskan peruntukan RM30 juta ini…saya juga nak melihat sejauh mana kerajaan Madani ini adil dalam memberikan peruntukan.
“Dalam dewan yang mulia ini saya mohon (peruntukan) jika saya dapat peruntukan ini untuk dibangunkan kawasan saya, saya akan beri sokongan kepada yang amat berhormat Datuk Seri dan kerajaan Madani,” kata ahli Parlimen Bersatu/Perikatan Nasional itu.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, empat MP Bersatu - Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) and Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan.
Mereka menyatakan sokongan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan mereka terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.
Beliau menyenaraikan pembangunan yang diperlukan di kawasannya.
Katanya, RM5 juta diperlukan untuk mengubah fasiliti pendidikan yang ada sekarang bagi membolehkan pembelajaran jahitan pakaian lelaki dan kemahiran automotif dilakukan.
Beliau juga memohon peruntukan itu bagi kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).
Selain itu, beliau juga memohon peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim dengan peruntukan sebanyak RM16 juta. – 9 November, 2023.
Komen