Pakatan-BN rancang tubuh jawatankuasa khas, lantik penyelaras Parlimen, DUN di Terengganu


Diyana Ibrahim

Terengganu menjadi satu-satunya negeri tanpa wakil pembangkang di Parlimen dan DUN, yang mencetuskan kebimbangan wujud keadaan tidak sihat apabila tiada proses semak dan imbang ke atas kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2023.

TERENGGANU akan menubuhkan jawatankuasa khas dan penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan wujud semak dan imbang selepas negeri itu tidak diwakili secara rasmi oleh pembangkang, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat parti masing-masing dan belum dibincangkan secara rasmi pada peringkat kerjasama PH dan BN, kata mereka.

Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Nik Dir Nik Wan Ku berkata pihaknya antara lain mencadangkan pelantikan penyelaras Parlimen dan DUN untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

“Kita ada hantar cadangan antaranya untuk melantik penyelaras di peringkat Parlimen dan DUN, tapi pelaksanaan masih belum tahu.

“Apa pun keputusan bergantung kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri, sama ada mereka terima cadangan atau ada rancangan lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nik Dir mengulas mengenai perancangan PH-BN di Terengganu selepas gabungan itu gagal menang satu kerusi pun di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan pilihan raya negeri bulan lepas.

Terengganu kini satu-satunya tanpa wakil pembangkang baik di Parlimen mahupun di DUN.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan wujud keadaan tidak sihat apabila tiada proses semak dan imbang yang berkesan ke atas kerajaan di Terengganu.

Veteran politik Terengganu Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berharap kerajaan tidak berat sebelah biarpun Terengganu tidak ada pembangkang.

Sementara itu, PH akan menubuhkan jawatankuasa pemantau manifesto PAS yang berperanan menilai, mendesak dan menjadi platform semak imbang di luar DUN.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Terengganu Wan Mohd Hasbie Wan Ahmad berkata untuk peringkat awal, jawatankuasa itu akan dibuat antara parti komponen dalam PH sebelum diperkasakan bersama BN.

“Ini adalah rancangan PH disebabkan kebimbangan kita dengan senario tidak ada pembangkang untuk membawa suara rakyat,” katanya.

Sebagai permulaan, jawatankuasa ini akan memantau hal ehwal berkaitan pelaksanaan manifesto dan peruntukan dana kerajaan pusat seperti wang ihsan.

“Yang menjadi keutamaan jawatankuasa ini adalah pelaksanaan manifesto disebabkan kalau manifesto yang lepas pun bukanlah 100% pelaksanaannya dibuat dengan betul biarpun PAS dakwa berjaya melaksanakan 20 manifesto PRU14

“Kita juga nak memastikan tidak ada salah guna atau penyelewengan dan pengagihan tidak adil  kepada rakyat daripada dana kerajaan pusat ini,” katanya

Hasbie juga memaklumkan pihaknya akan mencadangkan kepada perdana menteri untuk menubuhkan jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan pusat dan diletakkan bawah agensi khas Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Apabila tidak ada wakil rasmi pembangkang dalam sidang DUN sudah tentu akan beri cabaran untuk kita mendapat sumber dan informasi mengenai perjalanan tatakelola kerajaan negeri atau pun perincian perbahasan.

“Sebab itu kita memerlukan jawatankuasa yang ada kuasa dan akan bergerak di bawah mana-mana agensi kerajaan seperti JPP contohnya. Jadi peranan jawatankuasa ini akan lebih efektif,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata Umno tidak akan mengalah dan akan terus membawa suara rakyat biarpun biarpun rakyat menolak mereka.

Untuk itu, sayap Pemuda Umno akan giat memantau dan memberi kritikan secara terbuka jika terdapat sebarang kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita akur dengan keputusan rakyat. Ia suara majoriti. Semua kena faham sistem demokrasi.

“Jadi peranan kita sekarang adalah pantau dan beri peluang kepada PN macam mana mereka tadbir tanpa ada sistem semak imbang atau kehadiran pembangkang rasmi.

“Umno konsisten kita akan pastikan kerajaan negeri buat sewenang-wenangnya selepas mandat yang diberikan rakyat,” katanya. – 5 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen