AHLI Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berbincang dan berunding dengan kerajaan jika mahukan peruntukan mereka diberikan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata peruntukan itu bukan hak ahli Parlimen.
“Jika mahu peruntukan bincang dan runding. Jangan sombong.
“Runding…setuju kita luluskan, kalau tak sampai bila-bila pun kita tak luluskan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu ketika penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Kata Anwar, kerajaan Madani berpendirian sama seperti Perdana Menteri sebelum ini Ismail Sabri Yaakob dalam menyediakan peruntukan sekiranya pembangkang bersedia untuk berbincang dan berunding.
“Ketika (PN) berkuasa, kami (pembangkang) tidak dapat peruntukan.
“Hanya selepas Bera (Ismail) menjadi perdana menteri, kami dapat. Untuk itu saya berterima kasih pada Bera.
“Beliau (Ismail) minta untuk bincang jika kami benar-benar mahukan peruntukan. Jadi kami hantar wakil, saya pergi berbincang dan peruntukan diluluskan.
“Jadi, saya ambil pendirian sama sepertid Bera dalam isu ini (bincang untuk peruntukan),” katanya.
Ketika pentadbiran Ismail, kerajaan mengagihkan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri.
Kata Anwar, beliau sudah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof untuk menguruskan hal berkait peruntukan itu. – 19 September, 2023.
Komen