1MDB-Goldman Sachs: AGC failkan balasan kepada LCIA


AGC memfailkan balasan kepada LCIA semalam berhubung permohonan untuk timbang tara pelaksanaan perjanjian penyelesaian antara Kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2023.

JABATAN Peguam Negara (AGC) memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) semalam berhubung permohonan untuk timbang tara pelaksanaan perjanjian penyelesaian antara Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Goldman Sachs Group, Inc (Goldman Sachs).

AGC menerusi kenyataan malam ini memaklumkan pihaknya juga mengemukakan sesalinan balasan tersebut kepada pihak Goldman Sachs.

Menurut kenyataan itu ia berdasarkan Artikel 2.1 Peraturan LCIA, Kerajaan Malaysia hendaklah memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah LCIA dalam tempoh 28 hari dari tarikh Permohonan Untuk Timbang Tara tersebut difailkan.

“Pada 11 Oktober 2023 Goldman Sachs menamakan Kerajaan Malaysia sebagai Responden dalam satu Permohonan Untuk Timbang Tara yang difailkan di LCIA.

“Permohonan Untuk Timbang Tara itu adalah bagi mendapatkan relif-relif tertentu yang dikatakan berbangkit daripada pelaksanaan Perjanjian Penyelesaian bertarikh 18 Ogos 2020 yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad dan Goldman Sachs,” menurut kenyataan itu.

AGC turut memaklumkan komited dalam memastikan kepentingan kerajaan sentiasa dilindungi dan kekal terpelihara sepanjang prosiding berkaitan permohonan untuk timbang tara yang difailkan Goldman Sachs itu. – Bernama, 9 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen