Bekas pegawai bank Goldman Sachs didapati bersalah bantu seleweng dana 1MDB


Roger Ng didapati bersalah terhadap pertuduhan dalam kes perbicaraan 1MDB di AS. – Gambar AFP, 9 April, 2022.

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng pada Jumaat didapati bersalah oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS) berhubung peranannya dalam skandal penipuan berjumlah AS$4 bilion.

Ia disifatkan oleh pihak pendakwaan sebagai jenayah skala besar yang melibatkan penyelewengan dana kekayaan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ng memperoleh urus niaga menguntungkan majikannya dengan merasuah belasan pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi,” kata pendakwaraya AS Daerah Timur New York, Breon Peace, dalam satu kenyataan.

Juri mendapati antara 2012 hingga 2013, Ng menerima lebih AS$35 juta dalam bentuk sogokan kerana membantu aktiviti penyelewengan dan pengubahan wang haram 1MDB. Sebahagian daripada wang dalam skim itu juga digunakan untuk rasuah.

Peace menyifatkan keputusan itu bukan sahaja sebagai kemenangan demi kedaulatan undang-undang, tetapi juga kejayaan untuk rakyat Malaysia.

Ahli perniagaan Malaysia Jho Low, yang merupakan dalam utama skim, masih menjadi buruan dan dipercayai tinggal di China. 

Bekas pengumpul dana Republikan Elliott Broidy merayu dua tahun lalu bagi kesalahan melobi secara haram pentadbiran Donald Trump bagi jutaan dolar untuk pihak Low.

Tim Leissner, bekas rakan kongsi Goldman yang mengaku bersalah atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada 2018, dijangka dijatuhi hukuman pada akhir tahun ini.

Leissner adalah saksi utama kerajaan AS, dan peguam Ng, Marc Agnifilo dilaporkan menyerang kredibilitinya bagi mempertahankan anak guamnya.

Sabitan terhadap Ng adalah yang pertama dalam perbicaraan saga 1MDB, walaupun terdapat pengakuan bersalah Broidy, Leissner, dan dua individu lain yang berkaitan dengan skandal itu.

Pendakwaraya berkata Ng berkomplot untuk memintas kawalan akaunan dalaman Goldman Sach agar bank meluluskan tiga urus niaga bon yang penting kepada skim itu.

“Ng berpakat dengan individu lain bagi pengubahan wang haram melalui sistem kewangan AS dengan membeli, antara lainnya, hartanah mewah di New York City, karya seni berharga, barang kemas dan membiayai filem Hollywood seperti ‘The Wolf of Wall Street,’” kata Peace.

Pendakwa memfailkan saman pelucuthakan ilem Hollywood itu dan memperoleh AS$60 juta daripada penerbit pada 2018.

Pada 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju membayar AS$2.9 bilion sebagai penyelesaian, dengan syarikat mengaku bersalah. 

Epner, bekas pendakwa persekutuan, menyebut penalti itu sebagai salah satu “denda terbesar dalam perundangan Amerika.”

Sehingga Ogos 2021, lebih AS$1 bilion sudah dipulangkan kepada kerajaan Malaysia. – Agensi, 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen