Roger Ng saman bekas bos Goldman, Leissner AS$130 juta


ROGER Ng, bekas pegawai bank Goldman Sachs yang disabitkan bersalah bersubahat dalam penipuan 1MDB bertindak menyaman bekas bosnya Tim Leissner, yang merupakan saksi utama kerajaan AS dalam perbicaraan penipuan melibatkan lebih AS$130 juta (RM611 juta), lapor Reuters hari ini.

Ng, yang berasal dari Singapura, memfailkan kesnya di Manhattan, New York, menuduh Leissner berulang kali berbohong untuk mencuri pelaburannya bersama pembuat minuman tenaga Celsius Holdings dan syarikat kecerdasan buatan Sentient Technologies.

Leissner, bekas rakan kongsi Goldman, didakwa mencuri wang Ng untuk membayar kos perbicaraan mahkamahnya dalam kes jenayah berkaitan 1MDB, di mana beliau mengaku bersalah pada 2018.

“Ng berada dalam kedudukan yang tidak dapat dibayangkan untuk mempertahankan dirinya terhadap dakwaan dibuat oleh individu yang menipunya dan mencuri wang yang plaintif Ng perlu pertahankan terhadap dakwaan sama itu,” kata aduan berkenaan.

Ng, yang mengetuai cabang perbankan pelaburan Goldman Sachs Malaysia, berkata kecurian Leissner termasuk AS$1.25 juta pegangan Celsius yang kini bernilai lebih AS$130 juta, ditambah AS$1 juta yang bertujuan untuk membeli separuh daripada kepentingan Leissner dalam Sentient.

Juri persekutuan di Brooklyn pada April mensabitkan Ng kerana bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan melakukan pengubahan wang haram.

Ng berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun. Beliau dan Leissner dijadualkan dijatuhkan hukuman pada Februari.

Berbilion dolar dicuri daripada dana kekayaan negara Malaysia 1MDB dalam konspirasi yang merentas benua dan membabitkan beberapa bank terbesar dunia. 
Keuntungan haram itu juga didakwa digunakan untuk membiayai pengeluaran filem blockbuster Hollywood “The Wolf of Wall Street”, yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak dihukum penjara 12 tahun kerana peranannya dalam rompakan 1MDB. – Agensi, 12 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen