Goldman Sachs saman Malaysia isu penyelesaian dana 1MDB


Goldman Sachs menyaman kerajaan Malaysia di mahkamah United Kingdom berhubung isu penyelesaian berkaitan peranan bank itu dalam skandal dana 1MDB. – Gambar EPA, 12 Oktober 2023.

KUMPULAN Goldman Sachs menyaman kerajaan Malaysia di mahkamah United Kingdom berhubung isu penyelesaian berkaitan peranan bank itu dalam skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber dipetik Reuters berkata saman berkenaan difailkan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA), semalam.

“Hari ini (semalam) kami memfailkan saman timbang tara ke atas Kerajaan Malaysia kerana melanggar obligasinya untuk mengkredit aset dengan sewajarnya terhadap jaminan diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami serta bagi mendapatkan semula aset lain,” kata jurucakap bank itu kepada Reuters.

Terdahulu saman berkenaan dilaporkan oleh Bloomberg News.

Sebelum ini Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah dijalankan Malaysia terhadap peranan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) pada 2020.

Pihak berkuasa Malaysia serta AS menganggarkan AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB antara 2009 hingga 2024 dalam komplot yang membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak; pegawai peringkat tinggi dalam dana itu; kakitangan Goldman dan lain-lain lagi.

Menurut Pendakwa Raya, Goldman membantu 1MDB meraih AS$6.5 bilion menerusi tiga jualan bon namun AS$4.5 bilion didakwa ‘dilencongkan’ kepada pegawai kerajaan, jurubank serta rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan antara 2009 dan 2015.

AS memulangkan dana diperoleh daripada rampasan aset didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB yang dicuri. – Reuters, 12 Oktober 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen