Akta Rukun Tetangga mungkin dipinda, kata menteri


Aaron Ago Dagang berkata antara yang dibincang pemanjangan tempoh pelantikan ahli jawatankuasa RT daripada dua tahun kepada tiga tahun bagi satu penggal. – Gambar Facebook, 5 November, 2023.

KEMENTERIAN Perpaduan Negara mengambil langkah untuk membuat semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012 sejajar dengan cabaran serta keperluan semasa.

Menterinya Aaron Ago Dagang berkata satu bengkel pindaan akta itu diadakan dan pelbagai cadangan pindaan dibincang merangkumi pemanjangan tempoh pelantikan ahli jawatankuasa Rukun Tetangga (RT) daripada dua tahun kepada tiga tahun bagi satu penggal.

Beliau berkata ia turut membabitkan cadangan penggantungan keahlian Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan implikasi kepada pihak yang menghalang tugas SRS.

Aaron berkata demikian ketika berucap merasmikan konvensyen perdana Rukun Tetangga peringkat kebangsaan 2023 yang bertema ‘Rukun Tetangga sebagai penggerak masyarakat progresif’ di Bangi, Selangor hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata pihaknya sedang memuktamad kerangka bagi memperkasakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai penggerak masyarakat progresif.

“Kementerian memberi fokus kepada lapan inisiatif bagi memastikan RT berfungsi sebagai entiti penting dan inklusif serta berupaya membangunkan masyarakat mampan dan progresif iaitu keselamatan komuniti, pendidikan sepanjang hayat, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kepimpinan, kesejahteraan hidup serta warisan dan budaya,” katanya.

Belanjawan 2024 memperuntuk RM20 juta bagi memperkasakan peranan KRT sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan dan penyebaran maklumat serta memupuk perpaduan dalam komuniti. – Bernama, 5 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen