SEBARANG cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, menjadi salah satu defisit sosial yang dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Aaron berkata cadangan seumpama itu turut membantutkan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terjamin.
Beliau merujuk kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari, yang dilaporkan berkata empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, untuk memperingatinya di peringkat negeri.
“Ia berkait rapat mengenai semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang perlu ditangani secara berhemah.
“Seharusnya pemimpin di setiap peringkat hendaklah memainkan peranan penting sebagai pemangkin perpaduan, termasuk tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri melalui aspek sempadan politik, ekonomi dan sosial,” katanya.
Media melaporkan Fadhli berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN semalam, ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.
Aaron berkata, tema yang dilancarkan pada 27 Mei lalu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.
Beliau berkata setiap rakyat di negara ini sedia maklum sambutan yang diadakan saban tahun itu diraikan dengan semangat patriotisme dan cinta kepada negara, bagi mengenang jasa pejuang kemerdekaan terdahulu, yang bersusah payah memastikan Malaysia terus bebas merdeka daripada cengkaman penjajah.
“Sambutan Hari Kebangsaan suatu perayaan bersifat nasional. Logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama, 20 Ogos, 2023.
Komen