Penyelesaian MA63 kukuhkan perpaduan rakyat, kata menteri


Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang yakin Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara berkaitan MA63 seperti diminta Sarawak dan Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari 2023.

MENTERI Perpaduan Aaron Ago Dagang percaya penyelesaian muktamad Perjanjian Malaysia (MA63) akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat. 

Beliau berkata pelantikan pemimpin politik daripada Sarawak Fadillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri dan diberi tugas mempercepatkan semua perkara berkaitan MA63, menunjukkan perdana menteri serius menangani isu itu. 

“Kami yakin Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara berkaitan MA63 seperti diminta Sarawak dan Sabah.

“Walaupun terdapat perkara belum diselesaikan dalam MA63, perdana menteri sedang meneliti isu-isu itu dan berbincang secara serius mengenai isu tersebut dan penyelesaian kepada isu-isu tertangguh mesti dipercepatkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sembang Perpaduan Bersama Menteri Perpaduan di Menara Perbadanan Labuan hari ini. 

Anwar pada 22 Januari lepas berkata sebahagian besar MA63 telah diselesaikan, bagaimanapun isu-isu asas tidak pernah ditangani pentadbiran terdahulu meskipun perjanjian itu telah ditandatangani 60 tahun lepas ketika kepimpinan perdana menteri Tunku Abdul Rahman. – Bernama, 26 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen