Rukun Negara akan dibaca penuh, kata menteri


Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang (dua dari kanan) merasmikan majlis peluncuran Eksplorasi Rukun Negara di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar Facebook, 13 Ogos, 2023.

LAFAZ ikrar Rukun Negara kini akan diselaraskan bermula dengan bacaan penuh mukadimah diikuti lima prinsip berkenaan di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan di seluruh negara sebagai usaha menyemai taat setia dan rasa cintakan negara.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata cadangan untuk dikembalikan lafaz Rukun Negara dibaca penuh itu diluluskan oleh Kabinet pada 25 Julai lalu.

“Dengan kelulusan itu, sekarang kita menggerakkan aktiviti Eksplorasi Rukun Negara dengan bermulanya majlis peluncuran pada hari ini. Selepas ini, semua aktiviti membabitkan program Rukun Negara akan digerakkan ke seluruh negara dengan kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam meningkatkan usaha ini.

“Kita juga mencadangkan supaya lafaz Rukun Negara turut dilakukan pada setiap kali majlis pembukaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya pada majlis peluncuran Eksplorasi Rukun Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata program eksplorasi yang dilancarkan hari ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan Kementerian Perpaduan Negara yang merangka program di bawah Flagship Kembara Perpaduan Malaysia Madani.

“Usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai ejen penyatupaduan rakyat dan membangkitkan sifat patriotisme dalam kalangan mereka.

“Sebelum ini, memang ada bacaan lafaz Rukun Negara, namun hanya pada lima prinsip, apa yang kita mahu ialah mukadimah yang mengandungi cita-cita Rukun Negara kerana lima prinsip itu hanya rumusan tapi yang menyentuh hati ada pada cita-cita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik disusun di bawah program itu bagi menyemarakkan penghayatan Rukun Negara di peringkat tadika, sekolah dan institusi pengajian tinggi, antaranya Dialog Anak Muda, Ekspresi Rukun Negara dan beberapa aktiviti lain. – Bernama, 13 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen