Jawatankuasa Harmoni tingkatkan kefahaman pelbagai agama


Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Harmoni. – Gambar Facebook Aaron Ago Anak Dagang, 28 Oktober, 2023.

MENTERI Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni).

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 14 Ogos 2020 bagi menggantikan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang diwujudkan pada 2010 dan berakhir pada 31 Disember 2019.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini, Jawatankuasa Harmoni merupakan platform penting bagi meningkatkan kefahaman pelbagai agama.

“(Selain itu), ia bagi membincangkan isu yang boleh menggugat keharmonian agama dan ketenteraman awam, serta mencadangkan dasar kepada kerajaan berteraskan nilai agama,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu dianggotai 30 ahli terdiri daripada tiga wakil kerajaan, 10 wakil agama Islam, masing-masing empat wakil agama Buddha dan Kristian, serta masing-masing dua wakil agama Hindu dan Taoisme.

Turut serta masing-masing seorang wakil agama Sikh, agama Baha’i dan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) Sarawak.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Harmoni bermesyuarat dua kali setahun atau mengikut keperluan dengan terma rujukannya adalah memperkukuhkan iklim perhubungan yang baik dan mesra dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama berteraskan semangat hormat-menghormati serta bekerjasama di semua peringkat.

Selain itu, bagi menggalakkan semua penganut agama memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, meningkatkan penghayatan semua penganut agama kepada nilai murni selaras prinsip Rukun Negara serta mencadangkan program dan aktiviti bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam untuk memperkukuhkan keharmonian negara.

Menurut kenyataan itu, Aaron menyatakan harapan Jawatankuasa Harmoni mencapai matlamat penubuhan sebagai tapak untuk merapatkan jurang antara badan agama Islam dan bukan Islam.

Beliau juga berharap jawatankuasa itu dapat berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara serta melaksanakan program memupuk persefahaman dan keharmonian antara ketua agama dan penganut agama bagi menyokong matlamat membangun Malaysia Madani melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Bagi Mohd Nai’m, beliau yakin jawatankuasa itu satu platform terbaik bagi semua pihak mengambil pendekatan bijak, tertib dan dengan semangat toleransi tinggi ketika berhadapan isu agama, dalam usaha memastikan keadaan sosial di negara ini sentiasa stabil demi perpaduan dan pada masa sama memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan terus dipelihara seperti termaktub dalam Perlembagaan. – Bernama, 28 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen