Erdogan putus hubungan dengan Netanyahu


Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bukan lagi orang yang boleh dibawa berunding. – Gambar fail AFP, 4 November, 2023.

PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini mengesahkan hubungan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu putus akibat tindakan Israel di Gaza.

“Netanyahu bukan lagi orang yang boleh kami bawa berbincang. Beliau sudah tiada kena mengena,” lapor media Turkiye memetik Erdogan.

Kenyataan Erdogan dibuat seminggu selepas Israel berkata, mereka ‘menilai semula’ hubungan dengan Ankara disebabkan retorik Turkiye yang semakin hangat mengenai perang Israel-Pelestin.

Israel sebelum ini memanggil balik semua diplomat dari Turkiye dan negara serantau sebagai langkah keselamatan.

Tentera zionis ketika ini mengepung bandar terbesar di Gaza, cuba untuk menghancurkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serbuan 7 Oktober ke Israel.

Kementerian kesihatan di Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas, berkata lebih 9,400 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak serangan Israel dan langkah ketenteraan darat yang semakin sengit.

Erdogan hari ini berkata, Turkiye bagaimanapun tidak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

“Memutuskan hubungan sepenuhnya tidak mungkin, terutamanya dalam diplomasi antarabangsa,” kata Erdogan.

Beliau berkata, ketua agensi perisikan MIT, Ibrahim Kalin sedang menerajui usaha Turkiye untuk mencuba dan menjadi pengantara bagi menamatkan perang itu.

“Ibrahim Kalin bercakap dengan pihak Israel. Sudah tentu, beliau juga sedang berunding dengan Palestin dan Hamas,” kata Erdogan. – AFP, 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen