Keselamatan Israel dan pengkhianatan negara Arab


Mohd Azizi Jaeh

Presiden AS Joe Biden beberapa hari lalu mengisytiharkan akan memberikan lagi dana tambahan AS$14 bilion untuk membantu operasi ketenteraan Israel diketuai Perdana Menteri Netanyahu. – Gambar AFP, 27 Oktober, 2023.

SEJAK dulu sokongan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel mempunyai hubungan langsung dengan isu keselamatan. Biarpun Israel dilihat sebagai pulau kecil di tengah lautan negara Arab, keberadaannya dianggap sebagai gerombolan samseng yang boleh mengancam keselamatan di Timur Tengah.

Untuk selamat, Israel memerlukan teknologi persenjataan dan sistem pertahanan yang canggih. Sejak tertubuhnya Israel pada 1948, negara Uncle Sam menurut laporan Jabatan Negara AS membiayai lebih AS$130 bilion kepada Israel dalam membangunkan industri ketenteraan.

Tidak mengejutkan, Presiden AS Joe Biden beberapa hari lalu mengisytiharkan akan memberikan lagi dana tambahan AS$14 bilion untuk membantu operasi ketenteraan Israel memerangi Hamas (di tengah-tengah kebingitan dan pertumpahan darah sedang memuncak).

Oleh sebab itu, AS terus dicemuh oleh masyarakat dunia, semacam seekor raksasa yang selalu meletakkan Israel di bawah ketiaknya.

Serangan kumpulan bersenjata Hamas pada 7 Oktober lalu benar-benar mengejutkan Perdana Menteri Netanyahu. Israel bertindak balas mengepung dan menggempur kekuatan musuh di Gaza atas alasan mempertahankan diri. Dengan nada yang angkuh, menteri pertahanan Israel turut menggelar pejuang Hamas sebagai haiwan manusia yang patut diperangi.

Barangkali strategi tempur Hamas itu membuatkan Israel berasa terpukul berikutan kematian dan kemusnahan besar dialami negara mereka, lantas mereka berkelakuan seperti haiwan buas yang bangkit mengamuk sehingga sanggup mengebom Hospital Al-Ahli Arab di Gaza.

Tidak ada cara lain untuk menjinakkan kemaraan Israel selain meningkatkan pengaruh, kuasa ketenteraan dan menubuhkan pakatan strategik pertahanan dengan beberapa negara serantau oleh pihak Palestin. Setidak-tidaknya perimbangan kuasa akan mewujudkan suatu keadaan yang Israel akan berhati-hati dan lebih responsif untuk menjalankan modus operandi ketenteraan mereka.

Israel akan berfikir panjang tentang impak kemusnahan dan kerugian jika Palestin dapat menyaingi dan mengimbangi kekuatan mereka. Menurut perspektif hubungan antarabangsa, sekiranya dua negara berkonflik mempunyai keupayaan angkatan tentera yang hampir setara atau sama kuat, peperangan besar mungkin dapat dielakkan.

Maka ia boleh menimbulkan suasana yang biarpun sentiasa tegang, tetapi lebih stabil secara relatifnya. Inilah yang berlaku semasa Perang Dingin dalam beberapa contoh klasik seperti perang AS dengan Soviet Union dan India dengan Pakistan apabila kuasa ketenteraan nampak seimbang.

Namun apa yang terjadi selama puluhan tahun (dalam konteks perang Israel-Palestin) adalah ketidakseimbangan angkatan perang mengakibatkan Israel bermaharajalela.

Bayangkan Israel membuli tanpa sebarang cabaran sengit kerana keterbatasan jumlah tentera dan senjata terhad di pihak Palestin. Apatah lagi, Israel selaku aktor negara hanya melawan kumpulan pejuang Hamas yang berstatus aktor bukan negara – lawan yang tidak sepadan.

Tidak seperti Israel yang di belakangnya AS, Palestin tidak mendapat bantuan dan jaminan keselamatan dari Rusia mahupun China dari aspek pertahanan sepertimana yang diterima Israel. Pendek kata Palestin kini dibiarkan bersendirian (tanpa negara sekutu) untuk menjaga untung nasib mereka.

Ini menunjukkan pentingnya pembentukan kerjasama pelbagai hala dan persahabatan erat dalam menjamin keselamatan. Lebih penting keselamatan harus dilihat sebagai “security undoubtedly means different things to different states.”

Bagaimanapun, negara Arab terpecah kepada dua proksi dan salah satu proksi pula biarpun tiada hubungan diplomatik rasmi dengan Israel, kelihatan tunduk dengan saranan AS dan sentiasa memberi kerjasama yang tidak menyebelahi Palestin. Keadaan ini sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan keselamatan Israel apabila negara Arab kian terbelah.

Lagi pula, negara saudara dan seagama (Arab-Muslim) semakin beransur-ansur meninggalkan perjuangan rakyat Palestin dan mengambil langkah mengadakan hubungan diplomatik untuk mengiktiraf Israel.

Begitu pun tidak dinafikan pengalaman pahit negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Syria yang kalah dan diaibkan dalam siri peperangan (Perang Arab-Israel 1948, Perang Suez 1956, Perang 6 Hari 1967 dan Perang Yom Kippur 1973) dengan Israel mengakibatkan mereka kelihatan serik dan trauma untuk melawan pasukan tentera Israel. Ringkasnya, Israel menang mudah dan Arab kelihatan tidak mahu lagi mengulangi sejarah tersebut.

Kali terakhir negara Mesir dan Jordan berperang secara terbuka dengan Israel adalah pada 1973. Selepas itu, tiada lagi negara Arab berperang dengan Israel, kecuali Perang Lubnan pada 2006 melibatkan kumpulan pejuang Hizbullah. Isu Palestin dianggap suatu beban apabila negara Arab yang berada di sekitar peta Palestin merasakan tiada lagi keperluan untuk campur tangan secara langsung.

Mereka lebih menekankan ke arah kepentingan nasional (mendahulukan kepentingan negara sendiri) demi mengelak kemusnahan sekiranya tidak terlibat perang. Oleh itu, jalan diplomasi mula diterokai.

Mengikut sejarah, Mesir negara Arab pertama yang memulakan perdamaian dengan Israel pada 1979 diikuti Jordan pada 1994.

Setiap kali isu normalisasi hubungan Arab-Israel menggegarkan politik antarabangsa, pastinya ada suara yang mengecam negara Arab yang dikatakan belot dan khianat saudara mereka.

Justeru, Palestin dianggap kehilangan sahabat dan sekutu mereka yang dulunya berpakat untuk menghancurkan Israel ketika Perang 1967 dan Perang 1973.

Termeterainya Abraham Accord pada 2020/2021 yang disertai UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi secara tersiratnya dapat mengurangkan satu demi satu musuh Israel.

Malahan ia mendedahkan kelemahan dan sikap talam dua muka AS, Israel dan negara Arab yang terlibat yang langsung tidak menyentuh kedudukan Palestin sebagai sebuah negara merdeka, di samping perjanjian yang mengetepikan sama sekali penglibatan Palestin.

Apakah pilihan yang mereka ada? Tindakan yang dilakukan Hamas tidak lain untuk menghalang dan mengganggu proses normalisasi hubungan Arab Saudi dengan Israel selain daripada menyertai Abraham Accord.

Tempoh yang paling kritikal ketika ini apabila satu persatu negara Arab telah mengiktiraf Israel. Namun, kedudukan Arab Saudi sebagai penjaga kota suci Mekah perlu dipelihara selari statusnya selaku penghulu dunia Arab. Kalau bukan Arab Saudi siapa lagi benteng terakhir bagi dunia Arab berlindung?

Sekiranya Arab Saudi mengikuti jejak negara-negara Arab lain, ia menandakan dunia Arab keseluruhannya telah mengkhianati aspirasi Palestin dan mereka tidak lagi menganggap kemerdekaan Palestin sebagai sebahagian dari permasalahan mereka yang perlu diselesaikan secara bersama.

Sebagai renungan, penulis teringat petikan ucapan tokoh Gerakan Pembebasan Palestin (PLO) Yasser Arafat di Perhimpunan PBB 1974 dengan mengatakan “saya datang dengan setangkai buah zaitun di satu tangan dan senjata pejuang kemerdekaan di tangan lain. Jangan biarkan tangkai zaitun itu terlepas dari tangan saya.” – 27 Oktober, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen