PRESIDEN Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata pada Rabu beliau membatalkan rancangan untuk melawat Israel kerana perang “tidak berperikemanusiaan” terhadap pejuang Hamas di Gaza.
Pemimpin Turkiye itu menambah beliau tidak melihat Hamas sebagai organisasi pengganas tetapi sebagai “pembebas”, berjuang untuk tanah air mereka, mendapat kecaman dan kemarahan daripada Israel.
Erdogan pada mulanya agak bertenang pada permulaan perang, mengutuk semua serangan terhadap orang awam dan menggesa Israel mengawal tindak balasnya terhadap serangan maut 7 Oktober oleh Hamas.
Tetapi beliau menjadi lebih lantang selepas serangan maut ke atas hospital Ahli Arab di Gaza minggu lalu, membawa kepada protes besar-besaran dan kemarahan di seluruh dunia Islam.
Pada Rabu, beliau memberitahu ahli Parlimen parti pemerintah yang Turkiye “tidak pernah menyokong kekejaman dilakukan oleh Israel”.
“Kami mempunyai projek untuk ke Israel, tetapi ia dibatalkan, kami tidak akan pergi,” katanya dalam kenyataan di televisyen.
Hubungan Ankara dengan Israel dingin susulan serangan Israel ke atas kapal Turkiye membawa bantuan ke Gaza, yang membunuh 10 orang awam pada 2010.
Erdogan bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bulan lalu, menandakan peningkatan dalam hubungan yang bermula dengan keputusan tahun lepas untuk melantik semula duta.
Pemimpin Turkiye tidak menyatakan bila beliau berhasrat untuk melawat Israel, di mana Ankara mempertimbangkan untuk menyertai projek saluran paip gas asli yang dipromosikan oleh Amerika Syarikat.
“Sudah tentu, kami mempunyai niat yang baik, tetapi (Netanyahu) menganiaya mereka,” kata Erdogan.
“Jika beliau meneruskan niat yang baik, hubungan kami mungkin berbeza, tetapi sekarang, malangnya, ia tidak akan berlaku.”
Perang Gaza yang terbaru dan paling dahsyat berlaku apabila Hamas melakukan serbuan mengejut ke atas Israel.
Kementerian kesihatan Hamas di Gaza berkata 6,546 orang telah terbunuh, sekali lagi kebanyakannya orang awam, ketika Israel terus mengebom wilayah itu sebagai persediaan untuk kemungkinan serangan darat.
Erdogan dijangka hadir pada perhimpunan besar-besaran di Istanbul pada Sabtu bagi mempertahankan hak Palestin.
Beliau memberitahu pada Rabu yang Turkiye “tidak mempunyai masalah dengan negara Israel”, tetapi tidak dapat menerima “serangan jijik dan kejam” ke atas Gaza.
“Hamas bukan organisasi pengganas, tetapi kumpulan pembebas dan mujahidin yang melindungi tanah air mereka,” kata Erdogan sambil mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong partinya.
Kementerian luar Israel membalas, menuduh Erdogan mempertahankan “pengganas”. – AFP, 26 Oktober, 2023.
Komen