Erdogan dakwa Majlis Keselamatan PBB burukkan lagi krisis Gaza


Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata akan terus menyokong dan membantu perjuang rakyat Palestin. – Gambar Facebook, 25 Oktober, 2023.

PRESIDEN Turkiye Tayyip Erdogan pada Selasa menuduh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memburukkan lagi krisis di Gaza dengan tunduk kepada “rejim Israel”.

Erdogan, penyokong kuat perjuangan Palestin, mengambil nada lebih terkawal semasa permulaan perang dengan menyeru kedua-dua pihak untuk menahan diri.

Bagaimanpun, nada beliau berubah menjadi lebih lantang selepas hospital Ahli Arab Bagaidi Gaza diserang seminggu lalu, membawa kepada protes besar dan kemarahan di seluruh dunia Islam.

“Masyarakat antarabangsa tidak menyahut cabaran dalam menghadapi serangan rejim Israel yang menyalahi undang-undang dan tidak terkawal terhadap orang awam,” kata Erdogan dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-78 penubuhan PBB.

“Kami memerhati yang Majlis Keselamatan PBB memburukkan lagi krisis dengan sikap berat sebelah, bukannya menghentikan pertumpahan darah, memastikan gencatan senjata secepat mungkin, dan mengambil langkah untuk mencegah korban awam,” kata Erdogan.

Israel terkejut selepas pejuang gerakan Islam Palestin menyerang sempadan Gaza pada 7 Oktober.

Ia menyebabkan Israel menyerang balas ke atas wilayah Palestin yang menurut pemerintah Hamas Gaza membunuh 5,791 orang.

Komen Erdogan muncul sejurus selepas beliau bercakap melalui telefon dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, yang negaranya adalah salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan, bersama Britain, China, Perancis dan Amerika Syarikat.

Majlis itu “hanya boleh melihat hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza,” kata Erdogan, mendakwa ia melumpuhkan kerja agensi PBB yang bertanggungjawab membantu pelarian Palestin. – AFP, 25 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen