Rundingan Anwar dengan menteri kewangan Turkiye produktif, kata Zambry


Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) bertemu Menteri Kewangan Turkiye, Mehmet Simsek di Istanbul hari ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 22 Oktober, 2023.

PERBINCANGAN Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek di Istanbul pagi ini menyentuh isu ekonomi semasa, kerjasama ekonomi, pelancongan, pelaburan dan pertahanan, kata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pertemuan selama sejam itu dilihat sangat produktif bagi kedua-dua negara.

Dalam pertemuan itu, Zambry berkata, perdana menteri dan Simsek saling bertukar pandangan berkaitan isu ekonomi semasa, di samping berbincang mengenai perlunya wujud satu pembaharuan dalam struktur kewangan ketika ini.

“Kedua, mereka lihat bagaimana hubungan perdagangan dua hala ditingkatkan dengan lebih aktif, meliputi pelbagai bidang, termasuk dalam sektor pelancongan, yakni satu sektor yang sangat besar bagi kedua-dua negara,” katanya.

Beliau yang ditemui sejurus selepas Anwar mengadakan pertemuan dengan Simsek di hotel penginapan perdana menteri di Istanbul berkata, perbincangan yang merujuk kepada sektor pelancongan itu melihat bagaimana kedua-dua negara dapat menyediakan pelaburan berkaitan sektor berkenaan.

Anwar kini berada di Istanbul bagi lawatan kerja dua hari ke Turkiye dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada sebelah petang, sebelum berlepas ke Mesir untuk lawatan kerja berikutnya.

Zambry berkata dalam menyentuh bidang pertahanan, perbincangan dengan Menteri Kewangan Turkiye itu melihat kepada potensi bagi kedua-dua negara untuk sama-sama co-design serta co-production bidang berkenaan dan Turkiye dilihat sedia memberikan kerjasama mantap.

Beliau berkata, perbincangan juga menjurus kepada agenda berkaitan isu yang dicetuskan oleh ekonomi global, namun penekanan yang diberikan lebih kepada kerjasama perkumpulan atau ekonomi serantau.

“Kita lihat bagaimana kedua-dua negara dapat memainkan peranan yang amat penting. Malaysia boleh mewakili rantau Asean dan Turkiye boleh mewakili rantau di sebelah Eropah dan Asia Tengah. Ini semestinya memberikan kelebihan kepada kedua-dua negara sahabat, yang mempunyai pertalian hubungan yang cukup besar,” katanya.

Perkembangan konflik Israel-Palestin di Gaza turut dibangkitkan dalam pertemuan itu, yang menurut Zambry amat menyentuh sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga seluruh umat Islam.

Beliau berkata konflik itu memperlihatkan betapa pentingnya kerjasama ekonomi yang mantap dalam kalangan negara Islam ditingkatkan.

“Saya melihat pertemuan ini memberikan beberapa ruang dan dimensi baharu, dalam meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara, banyak yang dibincangkan dan saya lihat hasil perbincangan sangat produktif.

“Saya percaya dengan adanya pertemuan antara perdana menteri dengan Erdogan nanti, ia pasti dapat menambah dimensi kepada apa yang dibincangkan tadi,” katanya. – Bernama, 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen