Palestin, babak terpendam


Hishamuddin Rais

Dari wilayah Gaza, Hamas menyerang Israel dengan menembak 5,000 roket dalam masa 20 minit pada subuh 7 Oktober lalu. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2023.

SUBUH Sabtu 7 Oktober 2023 gerila Pasukan Al-Qassam mula melancarkan serangan ke atas Israel dari Gaza. Serangan  dari Al-Qassam ini bukan satu yang baru. Serangan roket ke atas Israel telah berkali-kali berlaku. Tapi kali ini serangan Taufan Al-Aqsa cukup berlainan.

Al-Qassam pasukan gerila dari Parti Hamas ini datang menyerang Israel dari darat, laut dan udara. Dari wilayah Gaza gerila menembak 5,000 roket dalam masa 20 minit. Dari udara gerila berterbangan menggunakan glider menerobos masuk melintas tembok sempadan. Jentolak meruntuhkan pagar berduri. Ratusan gerila masuk dan terus membedil musuh.

Rumah pasung Zionis diserang. Kem askar diserang. Kereta kebal diletupkan. Pesta muzik diserang. Tawanan dibawa pulang ke Gaza termasuk seorang komandan kem askar.

Ini belum pernah berlaku. Serangan seperti ini belum pernah terjadi. Warga Israel terperanjat. Warga dunia bertanya – apa sudah jadi?

Media sering melaporkan tentang Mossad dan Shin Bet sebagai lembaga risik dan intip terulung dalam dunia. Shin Bet agensi intip dalam negara dengan moto – Perisai Tidak Dilihat adalah benteng pertahanan Israel.

Mossad bergerak di luar negara. Mossad kini memiliki lebih dari 7,000 ejen di seluruh pelusuk dunia. Mossad dikatakan badan risik terbaik sesudah CIA.

Teknologi terkini yang tercanggih juga diguna pakai untuk mempertahankan kewujudan entiti Zionis Israel dari serangan musuh. Kamera intip, alat cam muka, alat sensor dalam pelbagai bentuk dipasang di seluruh Israel untuk memastikan Israel selamat dari serangan gerila.

Iron Dome – Tudung Besi – senjata laser bergerak di pasang di sempadan Gaza. Alat ini akan menembak roket musuh di udara sebelum sampai ke sasaran di bumi.

Tudung Besi ini memastikan roket Al-Qassam tidak akan berjaya meledak di bumi.

Tembok batu dan pagar kawat berduri tiga lapis yang memisahkan Gaza dengan Israel semuanya dipasak dengan teknologi kamera intip.

Dikatakan jika burung bertenggek di atas tembok atau anjing lalu di hadapan pagar semuanya akan dilihat oleh pihak keselamatan atau siren akan berbunyi. Semua ini memustahilkan gerila Palestin dapat menghampiri tembok sempadan.

Tapi pada subuh 7 Oktober semua sistem pertahan Israel gagal. Apa sudah terjadi?

Tudung Besi dilapor gagal berfungsi. Siren tidak kedengaran. Sabtu hari Sabbath – hari suci Yahudi – mustahil soldadu dan pengawal sempadan juga berehat sama.

Apa terjadi? Kenapa sistem pertahanan Israel gagal. Apa jadi dengan Mossad dan Shin Bet. Kenapa tidak ada maklumat intip sampai awal memberi amaran ada serangan sedang dirancang?

Media arus perdana satu dunia terus menggambarkan bahawa unit intip, badan risik dan teknologi intel Israel telah gagal.

Betul ke gagal? Atau ada cerita di belakang cerita.

Tetiba muncul berita bahawa ini adalah 9/11 untuk Israel. Pada 9/11 Amerika diserang – bangunan WTC di New York meledak. Ada juga  komentar mengandaikan bahawa ini adalah Pelabuhan Pearl untuk Israel.

Serangan Jepun ke atas pelabuhan ini pada Ahad 7 Disember 1941 sengaja dibiarkan berlaku untuk  menjemput Amerika masuk campur dalam Perang Dunia Ke Dua. Serangan 9/11 di New York menjemput Amerika melanggar Iraq.

Pada 7 Oktober 2023 Taufan Al-Aqsa pasti menjemput Israel menyerang Gaza.

Pandangan ini menjurus kepada teori konspirasi. Ini kerana badan risik Mesir telah memberi maklumat tentang akan berlaku serangan dari Hamas. Maklumat disampai kepada pihak berwajib Israel. Tapi mereka tidak ambil pot.

Kenapa lembaga keselamatan Israel tidak ambil ‘pot’?

Lalu timbul persoalan apakah Hamas sengaja diumpan untuk dijerut oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Apakah Netanyahu memang merancang untuk memusnahkan Gaza dan membersihkan Gaza dari warga Palestin.

Andaian ini masuk akal. Netanyahu sedang berhadapan dengan kes rasuah. Jika dia bukan menjawat kerusi PM maka Netanyahu pasti masuk penjara. Justeru dia wajib melakukan apa saja untuk bebas dari dipenjara.

Netanyahu perlu dilihat wira di mata warga Israel. Menyerang Gaza dan membunuh Arab akan menggilap politik Netanyahu.

Kerajaan campuran Israel hari ini adalah gabungan Parti Likud dikepalai oleh Netanyahu bersama Parti Kach yang ekstrem kanan. Parti Kach ini melihat warga Palestin ini seperti binatang yang wajib dihapuskan.

Dalam masa yang sama, dalam usaha untuk lepas dari penjara Netanyahu telah merancang untuk meminda perlembagaan.

Di Israel kuasa mahkamah paling tinggi. Mahkamah boleh menolak keputusan kerajaan. Banyak cadangan kerajaan ditolak oleh mahkamah. Ini menyusahkan Netanyahu. Dia mahu melonggarkan kuasa mahkamah.

Projek pindaan perlembagaan ini menjemput rakyat bangun melawan. Berbulan bulan demo besar-besaran menentang pindaan perlembagaan ini berjalan. Gerakan anti Netanyahu merebak. Negara Israel pecah dua.

Satu kumpulan Israel menjadi penganut agama Yahudi ekstrem kanan dan satu garis demokratik sekular.

Keadaan politik Israel makin meruncing. Ramai elit politik dan elit ekonomi termasuk bekas kepala Shin Bet tidak menyokong Netanyahu.

Paling mengejutkan ialah apabila ada kumpulan tentera simpanan yang mengeluarkan kenyataan jika berlaku pindaan perlembagaan mereka akan meletakkan senjata. Mereka enggan mempertahan Israel.

Apakah projek memusnahkan Gaza jadi penyelamat untuk Netanyahu.

Andaian ini ada kebenaran kerana dua hari selepas Taufan Al-Aqsa Netanyahu berjaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Musuh politik Netanyahu kini dijinakkan.

Walau apa pun andaian dan teori konspirasi, apa yang jelas Israel dengan teknologi risik dan intip  amat angkuh. Lembaga intel Israel selalu mendabik dada mendakwa bahawa sistem intel Israel terbaik. Israel selamat dengan teknologi tercanggih.

Kesombongan ini terbarai bogel pada subuh 7 Oktober 2023.

Apa yang sahih dan jelas ialah Israel sedang menjalankan dasar pembunuhan beramai-ramai – genosid.

Apa yang sahih dan jelas memang ada projek untuk menghalau keluar semua warga Gaza. Israel sebuah negara haram masih menjalankan agenda penaklukan wilayah bermula semenjak 1948.

Pada Rabu 18 Oktober 2023 akhbar Times of Israel melaporkan kenyataan Menteri Luar Israel Eli Cohen kepada radio tentera: “At the end of this war, not only will Hamas no longer be in Gaza, but the territory of Gaza will also decrease.”

Menteri Luar Israel  Eli Cohen memberitahu Radio Tentera, “Pada akhir perang ini, bukan sahaja Hamas tidak lagi berada di Gaza, tetapi wilayah Gaza juga akan berkurangan.”

Apa yang sedang berlaku sekarang ialah memastikan semua warga Palestin di Gaza dihalau keluar.

Air dihentikan. Elektrik dipotong. Dari udara kapal mengebom. Dari sempadan meriam membedil. Gaza sedang dikepung. Semua ini untuk memastikan warga Gaza lari meninggalkan tanah air mereka.

Sempadan di selatan Gaza – di Rafah kini dibuka. Wilayah ini bersempadan dengan Mesir. Tujuan menghalau warga Gaza ini ialah untuk memastikan mereka masuk ke wilayah Mesir dan menjadi orang pelarian perang.

Ini sebenarnya ulang tayang Nakba. Penghalauan sedemikian pernah berlaku pada tahun 1948 dahulu. Inilah caranya kaum Zionis menjajah Palestin. Israel membantai warga Palestin. Yang takut akan lari. Yang tak lari akan mati.

Israel didirikan melalui keganasan.

Ketika tulisan ini di tulis Taufan Al-Aqsa telah berlaku 12 hari yang lalu. Bala tentera Israel masih mengepung Gaza. Presiden Biden telah datang ke Israel untuk menyatakan sokongan Amerika kepada Israel.

Rancangan Biden untuk bertemu dengan pemimpin negara Mesir dan Jordan gagal. Ini kerana sebuah hospital Al-Ahli al-Arabi telah dibom oleh Israel. Lebih dari 600 nyawa hilang.

Amat jelas apa yang dilakukan oleh Israel adalah jenayah perang. Mengikut perundangan antarabangsa Geneva Convention, Israel boleh dibawa ke mahkamah International Court of Justice (ICJ) di Belanda.

Tapi mustahil ini akan berlaku.

Mahkamah ini hanya berupaya dan berani mendakwa musuh Amerika. Contohnya Vladimir Putin akan didakwa kerana jenayah perang Ukraine.

Satu lagi contoh – Slobodan Milosevic, bekas presiden Bosnia, ditangkap dan didakwa oleh ICJ pada 2002. Pemimpin Bosnia ini dituduh melakukan jenayah perang. Milosevic mati pada 11 Mac 2006 dalam tahanan di Belanda.

Manakala waran tangkap untuk Putin menjadikan presiden Rusia itu susah untuk ke luar negara.

Jenayah perang Israel amat jelas. Sekolah, masjid dan hospital yang dibom adalah jenayah perang. Gaza sedang dikepung oleh bala tentera Israel dan menjadi warga bulur kelaparan adalah juga jenayah perang.

Telah hampir dua minggu askar Israel mengepung Gaza tapi masih belum masuk menyerang Gaza.

Masuk ke Gaza dengan dua tujuan. Pertama untuk membebaskan tawanan. Ada lebih dari 100 orang yang ditawan oleh Hamas. Kedua untuk musnah  hancur Hamas untuk selama-lamanya.

Diberitakan beberapa orang tawanan telah mati akibat bom. Juga ada berita melaporkan ada tawanan Hamas telah dibunuh oleh gerila. Berita seperti ini amat susah untuk disahkan kerana  dalam perang yang pertama mati ialah kebenaran.

Apakah orang tawanan Hamas ini dapat diselamatkan bila askar masuk menyerang.

Apakah bila askar Israel masuk menyerang Gaza mereka akan berjaya menghapuskan Hamas.

Bagaimana dengan tujuan memusnahkan Hamas. Ini persoalan hakiki. Untuk jawapan sila tunggu minggu hadapan. Amin. – 20 Oktober, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen