Hampir 5,000 peniaga berdaftar bawah program ReDI, kata timbalan menteri


Fuziah Salleh berkata, sejak program ReDI bermula pada 2021, ia berjaya mendaftarkan sejumlah 13,377 peniaga di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

SEJUMLAH 4,898 peniaga berdaftar di bawah kaedah pembayaran elektronik (e-dompet) menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 30 September tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, program yang diperkenal sejak 2021 itu bertujuan menggalakkan digitalisasi dalam kalangan peniaga serta pengguna di Malaysia.

“Program ini juga selari dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang bertujuan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif serta berdaya saing.

“Sejak program ini bermula pada 2021, ia berjaya mendaftarkan sejumlah 13,377 peniaga di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peningkatan jumlah penyertaan itu memberikan gambaran positif rakyat Malaysia sudah bersedia menerima perubahan daripada kaedah pembayaran tradisional kepada elektronik yang terbukti lebih berkesan dan sistematik.

Fuziah juga berkata, jenama ReDI akan terus dikembangkan dengan lebih meluas pada 2024 melalui pelaksanaan lebih banyak inisiatif baharu seperti ReDI Plus dan ReDI Referral yang dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai kumpulan sasar.

“Kementerian berharap sinergi strategik program ReDI dengan pemain industri peruncitan akan terus diperkukuh dalam inisiatif lain seperti Pasar Rahmah dan Gaya Hidup Rahmah yang akan diperkenal pada 2024,” katanya.

Terdahulu, beliau melepaskan peserta program ReDI 6 Hours Challenge Rakyat Digital di sebuah hotel di Langkawi yang menyaksikan mereka dikehendaki melaksanakan aktiviti advokasi dan promosi mengenai kaedah pembayaran elektronik kepada peniaga dalam tempoh enam jam. – Bernama, 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen