31,100 premis diperiksa seluruh negara menerusi Op Jamin, kata Fuziah 


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata 331 aduan mengenai harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras telah diterima setakat semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2023.

SEBANYAK 31,100 premis di seluruh negara telah diperiksa di bawah Op Jamin dari 7 Julai hingga semalam melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengedaran bekalan beras termasuk pengilang, pemborong dan peruncit.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pemeriksaan dibuat bagi mengetahui kedudukan bekalan dan harga beras di peringkat runcit serta barangan keperluan harian lain seperti gula dan minyak masak. 

“Hari ini kita hendak tengok keadaan (isu barangan keperluan) kerana kebelakangan ini kita dengar keadaan sedikit reda. Jadi, saya turun sendiri untuk melihat sama ada betul atau tidak keadaan tersebut, tapi kita lihat masih ada lagi yang belum dapat bekalan beras tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan Op Jamin di sebuah pasar raya di Cheras Jaya di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Fuziah berkata Jualan Rahmah untuk beras import akan diteruskan dan dipergiatkan lagi bagi membantu kekurangan bekalan barang keperluan di pasar raya.

Ops Jamin, yang dilancarkan pada 7 Julai lepas, adalah kolaborasi antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan keterjaminan bekalan beras dengan harga yang stabil dan terkawal.

Sementara itu, Fuziah berkata daripada 31,100 jumlah premis yang diperiksa, 10 kes telah diambil tindakan oleh KPDN kerana melakukan kesalahan iaitu masing-masing empat kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011, manakala dua kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Selain itu, beliau berkata 331 aduan mengenai harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras telah diterima setakat semalam dan telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, Fuziah berkata ia merupakan belanjawan yang menyebelahi rakyat memandangkan peruntukan untuk inisiatif Payung Rahmah ditambah kepada RM200 juta berbanding RM100 juta sebelum ini.

“Saya juga amat berbesar hati kerana bagi golongan miskin tegar, Perdana Menteri memperuntukkan RM10 bilion untuk pemberian bantuan Tunai Rahmah.

“Apabila kita menarik subsidi, semoga golongan yang dapat dan layak menerima subsidi itu boleh diberikan bantuan tunai dan gunakan ia untuk membeli barangan yang murah melalui bantuan Tunai Rahmah yang mereka terima,” katanya. – Bernama, 17 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen