Bulan yang menyakitkan bagi dunia


Mohd Azizi Jaeh

Kesakitan dan penyeksaan yang dihadapi rakyat Palestin terutama kanak-kanak menyentap emosi kita.  – Gambar AFP, 1 November, 2023.

OKTOBER 2023 bulan penuh tempikan yang ditalakan dunia ke arah Israel. Dari timur ke barat dan dari utara ke selatan, berjuta-juta manusia mengadakan demonstrasi mengutuk penjajahan Israel. Ada juga yang didorong oleh perasaan benci meluap-luap kepada Amerika Syarikat (AS) – slogan “death to the Israel” dan “death to the America” menjadi sohor kini di seluruh dunia.

Perang berpanjangan di Palestin sentiasa diingati masyarakat dunia kerana ianya tidak dapat merawat luka, mengubati sakit malah menghilangkan parut generasi dulu dan kini yang memperjuangkan keamanan.

Sebarang tindakan manusia yang membabitkan pengorbanan nyawa perlu ditentang habis-habisan seperti menerusi tunjuk perasaan besar-besaran. Protes dan bantahan kepada Israel di bandar-bandar utama seluruh dunia ketika ini mengingatkan penulis slogan popular pada 1960-an “make love not war” iaitu gerakan antiperang dan kumpulan counter-culture yang berpangkalan di AS.

Namun, masyarakat dunia tidak mengambil pengajaran penting daripada perang yang terus berlarutan.

Perang yang memasuki lebih dari tiga minggu di Palestin kini semakin meruncing. Sejak 7 Oktober lalu jumlah korban mencatatkan peningkatan sebanyak 8,000 lebih. Selain pembunuhan, pelbagai modus operandi digunakan, antaranya pembersihan etnik secara sistematik sedang dilaksanakan.  

Sementara itu, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan operasi darat tentera Israel di Gaza memasuki peringkat kedua dalam keadaan yang disifatkan sebagai “peperangan sukar” dan “panjang” dalam misi melumpuhkan pejuang Hamas.

Netanyahu juga mengeluarkan amaran keras bahawa tenteranya akan memberikan “pengajaran bermakna” terhadap Hamas. Ia akan menjadi tamparan dahsyat hinggakan Hamas tidak akan berani memulakan sebarang serangan lagi, tambahnya.

Naratif yang diterbalikkan Israel ialah serangan yang dimulai dan dicetuskan Hamas tanpa sebarang provokasi dari pihak Israel. Dalam hubungan ini mereka ingin memberitahu kepada dunia yang Israel merupakan mangsa keganasan. Mungkin lebih tepat meminjam kata penulis majalah Guardian Duncan Campbell yang menyatakan “Kita (Israel) diserang bukan kerana kejahatan kita, tetapi kerana kemuliaan kita.”

Lebih menyakitkan hati dunia, Hamas sebenarnya hanyalah sasaran dan Palestin dijadikan medan latihan semata-mata bagi mempamerkan kehebatan ketenteraan Tel Aviv yang bukan calang-calang. Pada masa sama boleh menggentarkan negara-negara Timur Tengah untuk mencabar lagak Israel.  

Mungkin dalam minda Zionis tindakan angkuh itu mempunyai merit dan justifikasi yang rasional, kononnya. Bukan perkara baru, pihak Israel bukan sahaja membelakangkan pendapat masyarakat dunia bahkan sering melanggar ketetapan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Seolah-olah aktor negara dan pertubuhan antarabangsa yang menolak peperangan sudah tidak berfungsi dalam arena politik antarabangsa.

Oleh itu, dunia dilanda kebimbangan akan kegilaan dan tekad penuh Israel yang boleh menjadikan Palestin padang jarak padang tekukur. Dunia yang cintakan kebebasan berasa takut dan cemas mengenai perkembangan terdekat yang sedang menyelubungi nasib Palestin.

Meskipun rata-rata daripada kita tidak dapat merasai penyeksaan teruk bangsa Palestin secara fizikal, tetapi melihat kesakitan ditanggung secara maya boleh mengganggu dan menyentap emosi kita. 

Sesiapa pun akan mengetahui bahawa perang membawa malapetaka, mewariskan balu-balu dan anak-anak yatim. Bangunan yang berdiri tinggi musnah dan ranap sekelip mata. Nilai kemanusiaan koyak-rabak dan dirobek. 

Selepas kemusnahan ini bagaimana umat Palestin ingin membangunkan kehidupan semula? Dunia hanya mampu menghambur kecaman.

Kita memikirkan anak-anak Palestin yang mungkin tidak lagi percaya masa depan mereka sedang dibakar hangus. Apatah lagi, nyawa mereka yang terlibat dalam memusnahkan masa depan mereka akan dipandang sebagai dendam kesumat yang harus dibalas suatu hari nanti.

Demi kuasa dan keselamatannya, Israel menjadikan matlamat akhir yang perlu dicapai termasuklah menggunakan kekerasan biarpun menaikkan suhu kemarahan dunia. Pembabitan AS-Israel dalam konflik ini juga adalah jelas pendorong utama kebencian yang dihalakan kepada kesemua Yahudi.

Ada kenyataan yang tidak boleh dielakkan bahawa ini bukan lagi peperangan, tapi adalah sebenarnya merupakan episod pembunuhan.

Ahli akademik AS yang berketurunan Yahudi seperti Noam Chomsky juga mengkirtik tindakan Israel dengan menjelaskan “Israel uses sophisticated attack jets and naval vessels to bomb densely crowded refugee camps, schools, apartment blocks, mosques and slums to attack a population that has no air force, no air defense, no navy, no heavy weapons, no artillery units, no mechanized armor, no command in control, no army and calls it war. It is no war, it is murder.”

Itu sebab dunia merasai luka dan pedih Palestin kerana kumpulan yang cintakan kedamaian tidak sanggup melihat setiap hari darah terus memancut. – 1 November, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen