MIC Perak sokong usul tiada pertandingan presiden, timbalan presiden


Timbalan Presiden MIC M Saravanan berterima kasih kepada MIC Perak atas sokongan kerana membawa usul berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2023.

MIC Perak mengikut jejak langkah MIC Pahang, yang membawa usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan MIC 2024.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau berterima kasih kepada MIC Perak, atas sokongan khususnya kepada pengerusi MIC negeri V Elango kerana membawa usul berkenaan.

“Setakat ini kita tidak lihatlah ada pertandingan untuk presiden, sebab timbalan presiden, naib presiden, semua sokong presiden supaya (Tan Sri) SA Vigneswaran terus kekal sebagai Presiden MIC dan kita sedia membantu usaha beliau, khususnya untuk membina bangunan berkembar untuk MIC dalam masa terdekat, maka tiada persaingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai usul berkenaan, selepas merasmikan konvensyen perwakilan ke-77 Badan Perhubungan MIC Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Pada 14 Oktober, Pengerusi MIC Pahang V Arumugam dilaporkan berkata, gandingan Vigneswaran dan Saravanan cukup berwibawa dalam mengemudi parti, menyebabkan akar umbi daripada MIC Pahang mahu mereka dikekalkan demi perpaduan dalam MIC.

Sementara itu berkenaan usul sama hari ini yang tidak mempertandingkan jawatan timbalan presiden MIC, Saravanan berkata: “Saya cuma boleh cakap terima kasih, yang penting parti dalam keadaan kukuh dan terima kasih kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) yang memperkenankan kedudukan parti, sehingga menjemput MIC turut bersama dalam kempen pilihan raya kecil sebelum ini.”

Ketika ditanya alasan MIC Perak membawa usul itu, beliau berkata MIC Perak melihat parti di peringkat pusat berada dalam keadaan cukup kukuh dan mereka mahu meneruskan keadaan itu.

“Pucuk pimpinan parti tiada jawatan kerajaan sebagainya, maka yang penting parti berada dalam keadaan kukuh,” katanya.

MIC Perak turut membawa lima lagi usul, antaranya pelantikan jawatan menteri dan timbalan menteri daripada MIC, bantuan pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada kaum India, serta peluang untuk pelajar India dalam bidang pendidikan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, Anwar tidak pernah berbincang berkenaan pemilihan beliau menganggotai Kabinet dalam rombakan Kabinet dan beliau menganggap perkara itu sebagai khabar angin sahaja.

“Kita cuma sokong perdana menteri supaya menstabilkan politik negara. Saya sudah menyatakan kepada perdana menteri, kita sokong kerajaan tanpa sebarang ugutan dan paksaan serta syarat,” katanya ketika ditanya berkenaan laporan media sebelum ini, yang menyatakan beliau akan kembali dalam rombakan Kabinet. – Bernama, 28 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen